Kunjungan ke Rumah Komuniti Malaysia (MCH) di Liverpool, United Kingdom sebelum ini telah mendorong usahawan dan juga pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim untuk sama-sama membantu membangunkan kembali pusat berkenaan, lapor mStar.
Melihat keadaan MCH yang tidak terurus dan perlu pemuliharaan, Rizalman, 53, berbesar hati memberi sumbangan sebanyak RM500,000 bagi tujuan berkenaan agar lokasi tersebut boleh terus digunapakai oleh rakyat Malaysia di negara itu.
Baginya ia merupakan satu tanggungjawab untuk menghidupkan kembali fungsi pusat berkenaan yang selama ini menjadi destinasi warga Malaysia merasakan seperti di negara sendiri walau jauh di perantauan, kongsi mStar.
Menurutnya lagi, dia melihat ada keperluan untuknya membantu. Bantuan itu bukan untuk dirinya tetapi lebih kepada memberi sinar dan harapan kepada warga Malaysia di Liverpool berhubung kepentingan MCH.
“Dari itu, saya menyimpan niat dan keazaman untuk memberikan sinar baharu kepada warga Malaysia di Liverpool dengan membaik pulih bangunan itu,” katanya.
Sumbangan disalurkan Yayasan Rizalman Ibrahim melalui Dar Al Qari Resources iaitu entiti yang diberi tanggungjawab menyelia dan membantu kerja-kerja pembaikan MCH Liverpool. – Agensi