Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rizky Febian sokong Mahalini berehat daripada karier seni

    Penyani popular Indonesia, Rizky Febian akur dengan keputusan isterinya, Mahalini, untuk berehat seketika daripada karier seni bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

    Rizky atau nama penuhnya Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 27, berkata keputusan itu dibuat selepas Mahalini selamat melahirkan anak sulung mereka, Zairee Selina Quinlyn, pada 15 Februari lalu.

    “Sekarang Mahalini sedang fokus menjaga anak dan memilih untuk berehat seketika daripada muzik sehingga semuanya kembali stabil.

    “Saya sebagai suami tentu saja menyokong setiap langkah dan cita-citanya dalam dunia muzik,” katanya kepada mStar.

    Menolak dakwaan kononnya dia terlalu mengongkong isterinya selepas berkahwin, Rizky menegaskan, Mahalini tetap akan memiliki ruang untuk berkarya apabila tiba masanya.

    “Tidak ada istilah terlalu melindungi kerana kami sama-sama hidup dalam dunia muzik. Mahalini ada impian dan harapan sendiri.

    “Saya belajar memahami keadaan seorang ibu selepas bersalin, dan kami sama-sama berusaha membahagikan tugas di rumah,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Rizky turut berharap agar peminat mendoakan Mahalini supaya dapat kembali aktif menghiburkan pencinta muzik tidak lama lagi. – Agensi

    Rizky Febian beri ruang untuk isterinya, Mahalini berehat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda