Bakal menimang cahaya mata pertama, penyanyi Rizky Febian bimbang apabila sudah lama tidak menerima tawaran menyanyi.
Disebabkan itu, Rizky rungsing memikirkan soal wang apatah lagi isterinya iaitu Mahalini bakal bersalin tidak lama lagi.
Memetik laporan mStar, penyanyi berkenaan meluahkan kebimbangannya itu kepada bapanya yang juga pelawak Sule.
“Dia bercerita dengan saya sudah kurang menerima tawaran menyanyi dan keadaan itu menjejaskan kewangannya.
“Saya beritahunya ia adalah ujian dan terima sahaja dengan hati terbuka,” katanya.
Sule memberitahu Rizky turut meluahkan kegusaran untuk mempersiapkan diri sebagai bapa.
“Ya dia juga ada meluahkan macam mana nanti kalua ada anak, saya nasihatkan dia untuk santai sahaja jangan terlalu kusut,” ujarnya.
Pada awal Januari, Mahalini atau Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, 25, memaklumkan dia kini sedang berbadan dua dan mengambil keputusan untuk berehat dari dunia muzik sehingga selepas bersalin.
Untuk rekod, Mahalini dan Rizky Febian mendirikan rumah tangga pada 5 Mei 2024.
Bagaimanapun pasangan itu bernikah sekali lagi pada 27 Disember lalu selepas pernikahan mereka didapati tidak sempurna dari segi rukun nikah ditetapkan agama Islam. – Agensi