Oleh Rabi’atul Nazurah Hidup
RANCANGAN Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) merupakan tahap kedua dalam usaha mencapai Wawasan 2035 malah sudah hampir kemuncaknya. Seluruh negara memanjatkan kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT di atas usaha gigih dan kemajuan serta kejayaan terhadap projek-projek yang disenaraikan di seluruh negara.
Projek-projek yang diselenggarakan sepanjang tempoh lima tahun RKN10 diharap akan dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan menjana ekonomi negara yang lebih progresif dan produktif bagi memastikan negara menjulang kemajuan ekonomi.
Antara lain projek yang termasuk dalam RKN10 adalah pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur-infrastruktur yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat dan pada masa yang sama berpotensi untuk meningkatkan lagi ekonomi negara. Justeru, kepimpinan raja berdaulat yang bijaksana dalam memastikan rakyat hidup sejahtera, selesa dan berkualiti seharusnya disyukuri bersama-sama.
Sebahagian daripada projek-projek infrastruktur yang dilaksanakan sepanjang RKN10 ialah Jambatan Temburong, Jambatan Sungai Kebun, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Lebuh Raya Telisai-Lumut.
Jambatan Temburong
Jambatan Temburong merupakan satu daripada projek pembinaan infrastruktur sedang berlangsung dan pembinaannya dijangka memakan masa 48 bulan. Jambatan ini merupakan jambatan penghubung antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.

Meskipun Daerah Temburong merupakan daerah kedua terbesar di negara ini, ia mengalami pertumbuhan ekonomi yang kurang menggalakkan disebabkan lokasi geografinya yang terpisah daripada tiga lagi daerah lain.
Untuk sampai ke daerah ini, orang ramai perlu melintasi dua daerah di negeri Sarawak melalui jalan darat atau menggunakan bot merentasi Teluk Brunei yang memakan masa antara 45 minit sehingga beberapa jam. Oleh itu, pembinaan Jambatan Temburong dilihat sebagai penyelesaian yang akan memberi kemudahan kepada penduduk dan rakyat negara ini selain berpotensi menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi di Daerah Temburong.
Jambatan Temburong ini dibina merentasi Teluk Brunei dari Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara dan dihubungkan ke Jalan Labu Estet di Daerah Temburong. Panjangnya kira-kira 30km yang menjadikan jambatan ini jambatan terpanjang di rantau Asia Tenggara. Ia merupakan lebuh raya dua hala dan disokong oleh kabel yang memberikan reka bentuk unik dan menarik.
Lebuh raya ini dijangka bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk di negara ini, bahkan bakal menjadi mercu tanda negara.
Dengan terbinanya jambatan ini, ekonomi Daerah Temburong dijangka akan meningkat seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan Negara Brunei Darussalam, sejajar dengan matlamat Wawasan 2035.
Jambatan Sungai Kebun
Satu lagi pembinaan penting ialah Jambatan Sungai Kebun. Jambatan ini dihasratkan dapat memberi kemudahan kepada penduduk khususnya yang tinggal di kawasan Sungai Kebun dan sekitarnya. Jambatan ini akan memberikan laluan yang lebih singkat ke Bandar Seri Begawan dan dijangka mengurangkan kesesakan di kawasan Lumapas, Mulaut, Bengkurong Masin dan sekitarnya terutamanya pada waktu pagi dan petang.
Selain itu, penduduk Kampong Ayer dan sekitarnya serta para pengunjung juga dapat meletakkan kereta mereka di bahagian barat jambatan yang dihasratkan dapat menyumbang kepada industri pelancongan negara sekali gus mempertingkatkan ekonomi di Mukim Lumapas dan sekitarnya.


Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS)
Satu lagi infrastruktur baru yang signifikan ialah Bangunan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak. Perkhidmatan Pediatrik (Kanak-kanak) dan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (Perbidanan dan Pesakit Puan) telah dipindahkan ke pusat ini pada 9 Januari 2015 dan mula beroperasi pada 12 Januari 2015. Pembinaan pusat baru ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat khususnya pesakit-pesakit dan petugas bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada mereka.
Antara lain kemudahan yang diberikan di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak adalah lif khas, tempat letak kereta berbayar dan perkhidmatan bas ulang alik bagi kemudahan orang ramai. Lif khas berada di aras Bawah Tanah 1 (Basement 1) berhampiran dengan tempat penurunan ambulans bagi memudahkan pesakit dikejarkan ke tempat rawatan tertentu.
Tempat letak kereta berbayar pula disediakan di aras Bawah Tanah 2 (Basement 2) manakala perkhidmatan bas ulang alik akan mengambil dan menghantar penumpang yang meletakkan kereta di tempat letak kereta berdekatan dengan Masjid Jame’ Asr’ Hassanal Bolkiah. Selain itu, pusat ini juga dilengkapi dengan kemudahan perubatan yang canggih dalam memberikan rawatan yang komprehensif dan berkualiti kepada pesakit.
Lebuh raya Telisai-Lumut
Satu lagi pembinaan mega sepanjang RKN10 adalah pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Telisai dan Lumut. Pembinaan lebuh raya sepanjang 18.6 kilometer ini menelan belanja $168 juta dan mengambil masa selama 6 tahun untuk disiapkan. Enam buah jambatan turut dibina di sepanjang jalan berkenaan.
Pembinaannya bermula pada 16 Februari 2010 dan siap pada 31 Mei 2016 bertujuan meningkatkan jalinan hubungan antara Bandar Seri Begawan dan Daerah Belait dan mengurangkan kesesakan di Jalan Lumut pada waktu puncak.
Infrastruktur-infrastruktur yang dibina merupakan penyukat kemajuan dan peneraju kemodenan negara.
Pembangunan yang dibina diharap akan dapat membantu negara dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan memberi keselesaan serta keharmonian hidup kepada rakyat negara ini.
Sebagai rakyat, adalah tanggungjawab kita bersama untuk menggunakan ia sebaik-baiknya dan menjaganya agar ia bertahan lama.