Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM stabil dan kukuh pada asasnya

    KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ringgit stabil dan kukuh dengan paras rintangan seterusnya ialah RM3.82 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Othman Aziz.

    Beliau berkata, perkara yang paling penting mengenai ringgit adalah ssas tempatan (sumbangan).

    “Kekuatan ringgit, jika ia bergantung kepada asas luaran, ia tidak akan berterusan tetapi ketika kita menuju ke tahap semasa iaitu RM3.92 pada pembukaan pasaran pertukaran asing hari ini, ia kelihatan lebih baik untuk bulan yang akan datang dan ringgit kelihatan stabil,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara SME Bank dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perdagangan (NUCW) hari ini.

    Othman, yang juga anggota Parlimen Jerlun, Kedah berkata, dengan sokongan angka keluaran dalam negara kasar, eksport dan harga minyak mentah Brent, ia akan menyumbang kepada pengukuhan ringgit.

    Menurutnya, terdapat juga faktor luaran yang tidak terkawal yang perlu dipertimbangkan negara, seperti dasar AS dan Brexit, yang akan memberi kesan kepada ringgit.

    “Nilai saksama adalah pada paras halangan RM3.82, kerana kita mempunyai permulaan yang baik untuk 2018, apabila ia memecah tahap RM4.00 bagi setiap dolar AS,” katanya sambil menambah ia akan menjadi baik untuk negara, dari segi asas serta keyakinan dalam pelaburan langsung asing.

    Terdahulu, SME Bank menandatangani perjanjian kumulatif dengan NUCW yang menawarkan kenaikan gaji antara lima hingga 12 peratus bagi kakitangan bukan eksekutif bank tersebut.

    Mereka dan ahli keluarga mereka juga akan menikmati kenaikan 38 peratus bagi rawatan pesakit luar dan peningkatan 20 peratus untuk kemasukan ke hospital di bawah perjanjian baru berkenaan.

    Ketua Pegawai Operasi, Operasi & Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor, berkata kenaikan gaji itu adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk memberi penekanan terhadap kebajikan dan peningkatan taraf hidup secara holistik.

    “Melalui perjanjian baru ini, bukan eksekutif SME Bank akan menerima kenaikan gaji asas daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda