SIBU, 17 APRIL – Setelah lebih 10 tahun diwujudkan, premis menjual makanan Bandong Walk akan berubah wajah apabila fasa pertama projek naik taraf dan ubah suai yang menelan kos RM1.7 juta dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata projek berkenaan yang akan melibatkan 19 gerai dijangka dimulakan dalam tempoh dua bulan.
“Selepas lebih 10 tahun diwujudkan, Bandong Walk yang telah banyak memberi peluang untuk peniaga kecil mencari rezeki, sudah tiba masanya untuk Bandong Walk diubah suai dan dinaik taraf,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook DUN Nangka hari ini.
Hantaran itu yang turut memuatkan video reka bentuk terkini Bandong Walk telah berjaya menarik 1,200 tontonan selepas satu jam, malah warganet dalam ruangan komen memuji wajah baharu destinasi menjamu selera popular di Sibu itu dan menyamakannya seperti di Eropah. – Bernama
