RANAU, 27 MAC – Sebanyak RM168.4 juta diperuntukkan membina, menaik taraf menara telekomunikasi dan melaksanakan projek hab gentian optik titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) di seluruh daerah Ranau bagi memberikan perkhidmatan internet 4G menjelang tahun hadapan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata daripada jumlah itu sebanyak RM103.4 juta diperuntukkan untuk membina sebanyak 35 menara telekomunikasi baharu, dan menaik taraf 30 menara sedia ada.
“Kini kerja-kerja pembinaan dan naik taraf berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap hujung tahun ini. Semua kontraktor yang telah dilantik adalah syarikat tempatan dan saya berharap mereka dapat menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
“Projek ini dilaksanakan di bawah peruntukan Keperluan Struktur Baharu Ranau dan ini adalah menunjukkan keprihatinan kerajaan melalui kementerian, untuk memastikan seluruh negara akan dapat menikmati capaian internet 4G,” katanya selepas Program Santai YBM MenKOMM Bersama Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Daerah Ranau di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk membina lima lagi menara telekomunikasi menggunakan teknologi satelit di beberapa kawasan di Ranau yang terletak jauh di pedalaman.
“Dengan adanya projek itu semua kawasan di Ranau termasuk di pedalaman akan mendapat jaringan internet dan telekomunikasi,” tambahnya.
Annuar berkata sebanyak RM65 juta daripada peruntukan berkenaan pula adalah untuk melaksanakan projek PoP di 60 buah sekolah yang terpilih, di kawasan daerah Ranau.
“Kita lihat masih banyak sekolah yang tidak mempunyai jaringan internet yang baik dan kita mahu mengatasi masalah itu…dan penduduk kampung yang berada dalam lingkungan lima kilometer daripada sekolah berkenaan, juga akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan,” katanya. – Bernama
