‘RM18B adalah tujuan pembangunan’

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ketua pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa wang pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan untuk tujuan pembangunan.

“Wang itu dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian, namun, jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet ataupun ucapan belanjawan atau di luar ucapan belanjawan maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dewan untuk diperbahaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi Dewan Rakyat semalam mengenai RM18 bilion wang pengembalian kutipan GST telah ‘hilang’ di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Lim ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menjawab pertanyaan pengamal media di lobi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen semalam. – Bernama

Lim berkata baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja, menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meminta bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak berasa hati dengan tindakan beberapa anggota parti itu yang semakin lantang bersuara, termasuk mengkritik Najib yang juga bekas Perdana Menteri.

Menurutnya, perbezaan pendapat antara anggota parti tidak harus didedahkan menerusi media terutama melalui surat terbuka seperti yang dilakukan sesetengah pemimpin parti itu.

“Pandangan saya lebih baik kita bekerja dan membetulkan keadaan daripada memberikan pandangan-pandangan yang akhirnya akan menggamit pelbagai interpretasi pro atau kontra terhadap pandangan yang dilontarkan oleh kita. Lebih baik kita bekerja daripada bercakap,” katanya. – Bernama