Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM2 bilion diperuntuk untuk tingkat kesalinghubungan di Sabah – PM Anwar

    KOTA KINABALU, 16 NOV – Kerajaan mem-peruntukkan RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata peruntukan itu antara lain akan memperluas liputan rangkaian internet dengan keutamaan diberikan kepada kolej, universiti awam dan swasta, serta pejabat kerajaan di negeri ini.

    Katanya, walaupun projek itu memerlukan sedikit masa, kerajaan komited memastikan rakyat Sabah menikmati akses internet yang lebih baik, terutamanya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan pentadbiran kerajaan.

    “MCMC telah menetapkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk tujuan ini.

    “Saya telah umumkan dalam Belanjawan. Projek ini perlukan sedikit masa untuk disiapkan,” katanya pada Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama YAB Perdana Menteri, hari ini.

    Turut hadir, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Pengarang Daily Express, Datuk James Sarda; dan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui.

    Sabah terus menikmati manfaat besar melalui Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion, yang diumumkan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026.

    Menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), liputan capaian 4G di Sabah me-ningkat secara signifikan kepada 96.81 peratus sejak program ini dilaksanakan pada 2022, berbanding hanya 73.41 peratus sebelum itu, memberi manfaat kepada tambahan 877,500 penduduk negeri.

    Setakat September lepas, liputan Coverage of Populated Area (COPA) bagi 5G di Sabah telah mencapai 69 peratus, hasil usaha bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan usaha itu akan terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan tambahan oleh pihak UMobile, yang menyasarkan liputan 5G mencapai 80 peratus di seluruh negeri Sabah. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Program Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Sayang Sabah bersama Pemimpin Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda