Wednesday, May 7, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM225 juta diperuntukkan bagi Program Community Drumming

    TENOM, 7 JAN – Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi Program Pengedaran Barang Perlu, Tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming (PoS to PoS) sepanjang tahun ini di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Kedah.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM79.7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program di Sabah.

    Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam proses menambah baik pelaksanaan program sama membabitkan tiga aspek iaitu tatacara perolehan, mekanisme kawalan dan pematuhan serta penyasaran komuniti penerima.

    “Ia bagi memastikan objektif program dapat dicapai sekali gus membolehkan kumpulan sasar mendapat manfaat sejajar dengan dasar penyasaran subsidi di bawah kerajaan MADANI,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom di sini hari ini.

    Melalui Community Drumming atau Program Penyeragaman Harga, kerajaan menanggung kos penghantaran barangan keperluan ke kawasan pedalaman bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan pada harga berpatutan seperti mana di bandar.

    Menurut Armizan, penambahbaikan tatacara perolehan melalui kaedah tender terbuka dilaksanakan pertengahan tahun lepas, manakala penambahbaikan mekanisme kawalan dan pematuhan sedia ada berdasarkan pelaporan secara manual sedang dijalankan.

    “Ia termasuk pengukuhan pelaporan bergambar dan menilai pembangunan sistem khas dengan mengambil kira isu kebolehcapaian internet di pedalaman,” katanya. – Bernama

    Datuk Armizan Mohd Ali (kiri) memperkatakan sesuatu kepada peniaga bekalan minyak kenderaan ketika melakukan pemeriksaan harga dan bekalan pelaksanaan Projek Community Drumming di Kampung Pamilaan Tenom kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda