SANDAKAN, 30 Jan – Kerajaan memperuntukkan RM38.1 juta sebagai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk 381,174 pelajar di Sabah.
Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Datuk Au Kam Wah berkata pemberian bantuan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka.
Katanya ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan setiap anak rakyat negara ini dapat bersekolah tanpa dihalang faktor keluarga tidak berkemampuan.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 362 pelajar Sekolah Menengah Sung Siew, membabitkan peruntukan berjumlah RM36,200 di sini, hari ini.
Beliau berkata menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM328 juta untuk BAP yang memberi manfaat kepada 3.2 juta pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. – Bernama