KOTA KINABALU, 27 Sept – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima peruntukan RM5.4 juta untuk membiayai 49 projek penyelidikan baharu pada tahun lepas, kata Naib Canselor UMS Prof Dr Kamarudin D Mudin.
Beliau berkata RM3.6 juta daripada geran penyelidikan itu disalurkan oleh agensi kerajaan, (RM558,000) pembiayaan pihak swasta dan RM1.2 juta daripada institusi antarabangsa.
“Dalam usaha untuk menyuburkan budaya dan meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Kedua, Pelan Strategik UMS 2018-2020, pengurusan universiti sentiasa memberi keutamaan kepada kemudahan penyelidikan yang terbaik.
“Selain itu UMS sendiri juga memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun untuk geran penyelidikan dalaman UMS yang dikenali sebagai Skim Geran Penyelidikan UMS (SGPUMS). Skim ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Skim Pensyarah lantikan Baru (SPLB) untuk penyelidik muda dan Skim Penyelidikan Bidang Keutamaan (SPBK),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidik UMS (APUMS), 2016, di sini, hari ini.

D Kamarudin berkata sepanjang tahun lepas UMS juga menerbitkan sebanyak 441 artikel dalam jurnal berimpak dan berindeks.
“Oleh itu pada tahun ini kami menyasarkan sekurang-kurangnya 600 artikel untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penyelidik yang berjaya mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pengiktirafan ini dapat memberi galakan kepada para penyelidik menghasilkan lebih banyak lagi produk penyelidikan yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya. – Bernama