KUCHING, 8 Nov – Kerajaan Negeri Sarawak merancang membelanjakan RM5.74 bilion, atau kira-kira 70 peratus daripada bajet negeri 2018 untuk pembangunan dan RM2.481 bilion atau 30 peratus, untuk perbelanjaan mengurus.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak, sebagai negara yang sedang membangun, perlu meneruskan belanjawan yang bersandarkan pembangunan untuk merangsang tahap aktiviti ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan ekonominya tahun ini.
Beliau berkata strategi utama bajet yang dicadangkan itu bertujuan mencapai pembangunan ekonomi yang lebih besar dan seimbang dan menyokong tahap pertumbuhan ekonomi yang dihasratkan, serta memberi keutamaan kepada ekonomi digital.
Kerajaan negeri komited untuk memperhebatkan pelaksanaan program dan projek untuk mempercepatkan pembangunan negeri. Daripada jumlah bajet pembangunan, peruntukan 53 peratus atau RM3.062 bilion akan disediakan untuk kawasan luar bandar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM2.65 bilion pada 2016 dan RM2.98 bilion pada 2017.
“Usaha berterusan kami dalam pembangunan luar bandar penting untuk mencapai matlamat pembangunan dalam membuka lebih banyak peluang di kawasan luar bandar dan terpencil untuk kemakmuran ekonomi komuniti luar bandar,” katanya. – Bernama