Tuesday, November 19, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM7 juta untuk kajian projek Keretapi Trans-Borneo

    KOTA KINABALU, 18 NOV – Sejumlah RM7 juta diperuntukkan bagi membiayai kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan Keretapi Trans-Borneo, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata kos berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan kajian kebolehlaksanaan itu telah diluluskan untuk dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

    “Pada masa ini, proses penilaian Juru Perunding serta penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal telah selesai pada Oktober 2024. Kementerian saya dimaklumkan bahawa proses penyediaan Surat Setuju Terima sedang dilaksanakan.

    “Projek kajian dijangka dimulakan selewat-lewatnya pada Disember ini dan dijangka siap pada penghujung 2025 iaitu selama 12 bulan,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan DUN Sabah, di Kota Kinabalu.

    Shahelmey berkata Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan satu kajian khusus iaitu kajian kemungkinan dan reka bentuk awalan pemanjangan landasan keretapi dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu seterusnya ke Pelabuhan Sepanggar dengan anggaran kos kajian RM1.75 juta.

    “Kajian ini dijangka bermula selewat-lewatnya Mac 2025,” katanya, sambil menambah semua kajian sama ada oleh kerajaan Persekutuan dan negeri adalah perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden dan meluaskan rangkaian sistem kereta api di Sabah.

    “Hasil dapatan daripada kajian kemungkinan itu juga nanti akan dirangka bagaimana kerjasama antara Sarawak, Brunei dan Sabah dalam pelaksanaan fizikal kelak,” katanya menjawab soalan tambahan mengenai bentuk koordinasi antara Sabah, Sarawak dan Brunei dalam projek berkenaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda