Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM81 juta dikutip, hampiri sasaran

    PUTRAJAYA, 19 OKT – Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar kini berjumlah RM81 juta, menghampiri sasaran RM100 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan soladiriti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

    Beliau memberi jaminan bahawa AAKRP itu akan dipastikan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.

    “Saya terharu dalam masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta. Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepada syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam,” kata beliau.

    Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima, kiri) menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat tempatan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada AAKRP di Seri Perdana, kelmarin. – Bernama

    Antara penyumbang terbesar untuk AAKRP hari ini adalah Khazanah Nasional Bhd serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM15 juta, Yayasan Albukhary RM15 juta dan YTL Corporation Bhd RM5 juta. Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd dan REDtone Digital Bhd masing-masing menyumbang RM1 juta kepada dana itu.

    Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

    Anwar turut mengingatkan pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing.

    “Saya ingin nasihat rakan-rakan di masjid atau surau kutip wang kena ada tanggungjawab dan ia perlu diurus dengan cekap. Jangan ambil kesempatan bina mahligai masing-masing.

    “Badan sukarela jangan belanja begitu tinggi untuk keindahan pejabat, dana ini untuk bantuan kemanusiaan,” kata beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda