Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT- MINI Brunei, di bawah QAF Auto Sdn Bhd, kembali menghidupkan semangat peminat automotif tanah air menerusi Roadshow MINI yang berlangsung di The Mall, Gadong bermula hari ini hingga 12 Oktober 2025, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Jerayawara kali kedua bagi tahun 2025 itu menampilkan ikon automotif global yang terkenal dengan keseronokan pemanduan serta gaya ekspresi tersendiri, kini diperbaharui dengan rekaan dan inovasi terkini jenama MINI.
Antara model yang dipamerkan termasuk MINI Cooper baharu, MINI Countryman yang berani dan lasak, serta MINI 5-Door generasi terdahulu yang masih menjadi kegemaran ramai.
Menurut kenyataan MINI Brunei, acara tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih dekat dengan barisan model MINI dan menikmati pelbagai tawaran eksklusif yang hanya tersedia sepanjang tempoh jerayawara.


“Kami amat teruja membawa jerayawara kedua tahun ini ke pusat tumpuan di Gadong. Ia bukan sekadar mempamerkan kenderaan, tetapi juga perkongsian semangat MINI bersama komuniti,” jelas kenyataan itu.
Antara tawaran istimewa sepanjang tiga hari pameran ialah rebat sehingga $3,000, servis MINI selama tiga tahun, pembaikan MINI selama tiga tahun, salutan seramik percuma, serta tinting cermin percuma direka khusus untuk memberikan lebih nilai dan keyakinan kepada pemilik baharu MINI.
Selain itu, pelawat turut berpeluang merasai sendiri pengalaman pemanduan melalui sesi Test Drive a MINI, di mana mereka yang mencuba akan menerima hadiah eksklusif MINI.
Acara turut dimeriahkan dengan aktiviti ‘Snap & Share’, di mana pengunjung boleh bergaya bersama kenderaan MINI dan menandakan akaun rasmi @mini_brunei di Instagram untuk berpeluang menjadi salah seorang daripada tiga pemenang bertuah setiap hari.

Turut diadakan ialah Cabutan Bertuah Hujung Minggu, yang menawarkan peluang memenangi barangan eksklusif MINI dan BMW Lifestyle bagi mereka yang mendaftar semasa acara berlangsung.
Roadshow MINI Brunei di The Mall, Gadong ini dibuka kepada orang ramai dan dijangka menarik kehadiran peminat serta penggemar gaya hidup automotif moden yang ingin merasai sendiri keunikan dan semangat “go-kart feeling” jenama MINI.
