Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robert Downey Jr kembali dengan watak penjahat ikonik

    Aktor Hollywood, Robert Downey Jr yang terkenal dengan watak Iron Man kembali dengan filem adiwira terbaharu daripada Marvel Cinematic Universe (MCU), iaitu Avengers: Doomsday selepas lima tahun.

    Downey Jr akan membuat kemunculan semula dengan memegang watak Dr Victor Von Doom, iaitu penjahat terkemuka dalam komik siri filem popular itu.

    Avengers: Doomsday yang bakal diarahkan bersama oleh Joe Russo dan Anthony Russo itu dijadual ditayangkan pada Mei 2026 dan naskhah selanjutnya bertajuk Secret Wars bakal diterbitkan setahun kemudian.

    Terdahulu, pembabitan Downey Jr bersama barisan pelakon lain yang bakal menjayakan francais MCU itu diumumkan pada acara Comic Con di San Diego, lapor BH Online.

    Downey Jr muncul di atas pentas dengan memakai topeng ikonik, Dr Victor Von Doom dan jubah hijau sebelum mendedahkan dirinya kepada peminat.

    Ketika bercakap kepada pemberita, aktor yang memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Academy (Oscar) ke-96 menerusi filem Oppenheimer itu dilapor berkata, dia suka memainkan watak rumit.

    Penampilan pertama aktor berusia 59 tahun itu bersama MCU adalah menerusi filem Iron Man pada 2008.

    Downey Jr kemudian terbabit dengan pelbagai naskhah terbitan MCU seperti Iron Man 2 (2010), The Avengers (2012), Iron Man 3 (2015), Avengers: Age of Ultron (2015), Captain America: Civil War (2016), Spider-Man: Homecoming (2017), Avengers: Infinity War (2018) dan kali terakhir menerusi Avengers: Endgame pada 2019. – Agensi

    Downey Jr muncul atas pentas dengan memakai topeng ikonik, Dr Victor Von Doom dan jubah hijau sebelum mendedahkan dirinya kepada peminat pada acara Comic Con di San Diego. – The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda