SYDNEY, 30 Mei – Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos berminat untuk mengendalikan kelab bola sepak Australia, South Melbourne yang kini mengintai peluang untuk menyertai saingan A-League.
Carlos, 44, yang terkenal kerana kehebatan sepakan percumanya, mengadakan perbincangan bersama pegawai kelab itu di bandar Melbourne semalam.
“Apa yang telah saya saksikan di sini telah menggerakkan hati saya, kompleks dan penduduk,” kata bekas pertahanan Real Madrid itu.
“Namun apa yang paling penting kini adalah untuk kelab itu diserap ke dalam A-League dan kemudiannya barulah kita mencipta sejarah bersama-sama.”
Persekutuan Bola Sepak Australia bercadang untuk mengembangkan saingan A-League kepada 12 pasukan, tetapi ia hanya dijangka menjadi kenyataan pada kempen 2018-19.
South Melbourne, yang ketika ini beraksi di liga bawahan Australia, secara terbuka sudah menyatakan hasrat untuk menjadi sebuah daripada dua buah kelab yang akan dinaikkan ke saingan itu.
Beberapa kelab lain turut menyatakan hasrat terbabit iaitu Sydney, Brisbane, Canberra, dan Tasmania. Pengerusi South Melbourne, Bill Papastergiadis berkata dia yakin pasukan berkenaan akan mencipta kejayaan bersama Carlos sekiranya mereka dinaikkan ke A-League.
“South telah mengadakan per-bincangan dengan Carlos untuk melatih pasukan ini jika kami diserapkan ke A-League,” kata Bill Papastergiadis. – AFP