MOSCOW, 17 Julai – Pengurus dari Itali, Roberto Mancini mendapat satu kemenangan meyakinkan 2-0 dalam perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana Rusia ketika kelab baru kendaliannya, Zenit St Petersburg telah menewaskan SKA Khabarovsk kelmarin.
Gol-gol itu dijaringkan oleh pemain gantian, Daler Kuzyaev dan penyerang, Alexander Kokorin bagi menempatkan bekas juara empat kali Rusia itu dalam laluan selayaknya bagi pembukaan musim.
Mancini, 52, yang telah memenangi tiga gelaran Itali berturut-turut bersama Inter Milan pada tahun 2006-08 dan menerajui Manchester City bagi gelaran Liga Perdana pada tahun 2012, berkata bahawa dia gembira dengan persembahan pasukan barunya di Khabarovsk.
“Khabarovsk terkenal dengan semangat juang mereka, mereka adalah skuad yang seimbang dan berjuang hingga akhir perlawanan,” kata Mancini, yang mengambil alih gergasi liga Rusia, Zenit bulan lepas. “Ia adalah perlawanan sukar dan saya gembira dengan setiap persembahan pemain saya.
“Bagi kami ia adalah penting untuk memulakan kejuaraan dengan kemenangan. Kami telah bermain dalam beberapa perlawanan pemanasan badan di kem latihan kami dan ia penting bagi kami untuk memulakan musim dengan kemenangan.”
Zenit kelihatan berkarat dari awal perlawanan di stadium Khabarovsk, bandar yang mempunyai zon masa tujuh jam dari Saint Petersburg, dan telah gagal menemui sasaran sebelum rehat.
Tetapi tujuh minit selepas perlawanan disambung, Kuzyaev memberikan Zenit pendahuluan 1-0 dengan rembatan dari jarak 30 ela.
Kokorin telah memastikan kemenangan buat Zenit dengan perlawanan berbaki sembilan minit apabila dia menyudahkan bola terlantun selepas pertahanan Khabarovsk gagal mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Oleg Shatov. – AFP