BATON ROUGE, 17 OGOS – Negeri Louisiana, baru-baru ini telah memfailkan saman terhadap platform permainan dalam talian Roblox, mendakwa laman popular itu mewujudkan persekitaran di mana pemangsa seksual ‘berkembang, bersatu, memburu dan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.’
Saman itu, difailkan di mahkamah negeri oleh Peguam Negara Louisiana, Liz Murrill, mendakwa Roblox gagal melaksanakan langkah keselamatan berkesan untuk melindungi pengguna kanak-kanak daripada pemangsa dewasa.
“Oleh kerana ketiadaan protokol keselamatan yang mencukupi, Roblox membahayakan keselamatan kanak-kanak Louisiana,” kata Murrill dalam satu kenyataan media. “Roblox dipenuhi kandungan berbahaya dan pemangsa kanak-kanak kerana ia mengutamakan pertumbuhan pengguna, hasil pendapatan dan keuntungan berbanding keselamatan kanak-kanak.”
Syarikat itu sebelum ini berdepan beberapa saman dan kritikan kerana tidak melakukan usaha cukup untuk melindungi kanak-kanak di platform permainannya. Bulan lalu, satu saman difailkan di Iowa selepas seorang remaja perempuan berusia 13 tahun didakwa diperkenalkan kepada seorang pemangsa dewasa di Roblox, sebelum diculik, diperdagangkan merentasi beberapa negeri dan dirogol.
Di Louisiana, Sheriff Paroki Livingston, Jason Ard, berkata pejabatnya telah mengendalikan beberapa kes berkaitan Roblox. Dalam salah satu kes, polis mendakwa seorang lelaki menggunakan teknologi pengubah suara untuk menyamar sebagai seorang gadis di platform itu. Namun, sehingga kini tiada tangkapan dibuat. Akhirnya, Murrill berkata beliau percaya Roblox patut ditutup.
Roblox bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – AP


