Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roblox wajibkan pemeriksaan umur sebelum sembang

    SYDNEY, 19 NOV – Syarikat gergasi permainan Roblox Corp berkata, ia akan lancarkan pengecaman wajah atau pemeriksaan ID wajib mulai bulan hadapan untuk pemain yang ingin menggunakan ciri sembang.

    Ia bertujuan untuk menghentikan kanak-kanak bawah umur sembilan tahun daripada bersembang tanpa persetujuan ibu bapa dan untuk mengekang perbualan antara orang dewasa dan kanak-kanak bawah umur dengan meletakkan pengguna dalam enam kumpulan umur bermula dari bawah umur sembilan tahun hingga lebih 21 tahun.

    Keperluan untuk menyertai sembang akan dilancarkan pada minggu pertama Disember di Australia, New Zealand dan Belanda sebelum berkembang secara global pada awal Januari, katanya.

    “Roblox ialah platform permainan atau komunikasi dalam talian pertama yang mewajibkan pemeriksaan wajah dan umur untuk mengakses sembang, mewujudkan apa yang kami percaya akan menjadi standard industri baharu,” kata syarikat yang berpangkalan di California itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

    Sistem baharu ini akan memerlukan pengguna mengambil gambar wajah mereka atau menggunakan pengenalan diri untuk mengesahkan usia mereka. Sebelum ini, pemain boleh menjalani pemeriksaan umur secara sukarela sebelum ia menjadi satu keperluan, kata Roblox.

    Anggaran umur wajah akan dijalankan oleh syarikat pengesahan ID Persona pada aplikasi Roblox, dengan imej dan video akan dipadamkan dengan ’segera’ selepas diproses.

    “Semakan umur adalah hanya pilihan; walau bagaimanapun, ciri seperti sembang tidak akan dapat diakses melainkan semakan umur selesai,” kata Roblox.

    Pengumuman Roblox dibuat beberapa minggu sebelum larangan Australia terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun menyertai media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok berkuat kuasa pada 10 Disember.

    Platform media sosial yang gagal mengambil langkah munasabah untuk mengesan dan menyahaktifkan akaun milik kanak-kanak bawah 16 tahun boleh dikenakan denda sehingga AS$32 juta.

    Roblox adalah antara beberapa platform, termasuk Discord, WhatsApp dan Lego Play, yang dianggap dikecualikan daripada undang-undang media sosial Australia.

    Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon akan memperkenalkan rang undang-undang yang serupa untuk menyekat penggunaan media sosial kanak-kanak. – AFP

    Seorang kanak-kanak dengan baju hiasan permainan Roblox. – Gambar hiasan Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda