Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot AI bantu petani atasi masalah rumpai di ladang

    LOS BANOS, CALIFORNIA – Tanpa menghiraukan terik matahari, sebuah robot beroda yang dikuasakan tenaga suria dan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dengan teliti merayau di ladang kapas di California, mencabut rumpai yang mengganggu tanaman.

    Ketika ladang-ladang di seluruh Amerika Syarikat berdepan kekurangan tenaga buruh dan rumpai semakin kebal terhadap racun rumpai, syarikat pemula teknologi Aigen tampil dengan penyelesaian robotik yang dinamakan Element, yang dikatakan mampu menjimatkan kos petani, melindungi alam sekitar dan mengurangkan bahan kimia berbahaya dalam makanan.

    “Saya benar-benar percaya ini adalah perkara paling besar yang boleh kita lakukan untuk memperbaiki kesihatan manusia,” kata pengasas bersama merangkap ketua pegawai teknologi Aigen, Richard Wurden, kepada AFP ketika robot-robot bergerak perlahan di ladang Bowles Farm, di bandar Los Banos.

    “Semua orang sedang makan makanan yang telah disembur dengan bahan kimia.”

    Wurden, seorang jurutera mekanikal yang pernah berkhidmat lima tahun di Tesla, mula membangunkan robot ini selepas saudara-mara yang mengusahakan ladang di Minnesota mengadu bahawa kerja merumpai sangat mahal dan membebankan.

    Robot autonomi berasaskan AI bertenaga suria milik Aigen – dikenali sebagai Element – sedang beroperasi di Ladang Bowles di Los Banos, California. – AFP
    Misi Aigen adalah untuk menggantikan penggunaan racun rumpai, bukan menggantikan pekerja ladang, sekali gus memberi manfaat kepada para petani dan pengguna. – AFP
    Kenny Lee bersama robot autonomi bertenaga suria berasaskan AI – Element –di Ladang Bowles di Los Banos, California, pada 26 Jun. – AFP
    Aigen mempunyai penyelesaian robotik yang mampu menjimatkan kos petani, membantu melindungi alam sekitar, dan mengelakkan bahan kimia berbahaya. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Menurutnya, rumpai kini semakin kebal terhadap racun kimia, manakala kekurangan tenaga buruh menjadikan penggunaan racun sebagai satu-satunya pilihan buat ramai petani.

    “Tiada seorang pun petani yang kami temui berkata mereka suka bahan kimia,” tambah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Aigen, Kenny Lee, yang berpengalaman dalam bidang perisian.

    “Mereka gunakannya kerana ia satu-satunya alat yang ada – dan kami cuba cipta alternatif.”

    Robot Element berbentuk seperti meja besar beroda, dengan panel solar di atasnya.

    Lengan logam yang dilengkapi bilah kecil menjulur ke bawah untuk mencangkul di antara tanaman.

    “Ia sebenarnya meniru cara kerja manusia,” kata Lee sambil suhu mencecah 32 darjah Celsius di bawah langit yang tidak berawan.

    “Apabila matahari terbenam, ia akan berhenti dan ‘tidur’; kemudian pada waktu pagi ia ‘bangun’ dan terus bekerja.”

    Sistem AI pada robot menerima data daripada kamera terbina, membolehkannya mengikuti barisan tanaman dan mengenal pasti rumpai.

    “Kalau anda fikir kerja ini sesuai untuk manusia, cuba habiskan dua jam merumpai di tengah ladang,” ujar Wurden.

    Visi Aigen adalah untuk menaik taraf peranan pekerja ladang – daripada buruh fizikal kepada pemantau dan penyelenggara robot. Robot ini turut disambungkan secara tanpa wayar ke pusat kawalan kecil yang akan memaklumkan sekiranya berlaku masalah.

    BAKAL GERGASI MASA DEPAN?

    Aigen kini menguji robot ini di ladang tomato, kapas dan bit gula, dengan kemampuan merumpai tanpa merosakkan tanaman utama.

    Lee menganggarkan lima buah robot cukup untuk merumpai kawasan seluas 160 ekar (sekitar 65 hektar).

    Robot buatan syarikat kecil yang berpangkalan di Redmond, berhampiran Seattle, ini dijual pada harga sekitar AS$50,000 seunit.

    Aigen menyasarkan untuk meyakinkan petani konservatif dari segi politik dengan pilihan mesra iklim yang menggunakan tenaga suria – berbanding mesin berat yang menggunakan diesel dan lebih mahal.

    “Perkataan ‘iklim’ kini sering dipolitikkan, tetapi jika dilihat secara asas, petani sebenarnya sangat prihatin terhadap tanah mereka,” kata Lee.

    Teknologi ini turut menarik perhatian Amazon Web Services (AWS), cabang pengkomputeran awan Amazon.

    Aigen telah dipilih untuk menyertai program Compute for Climate oleh AWS, yang menyediakan alat AI, kuasa pusat data dan bantuan teknikal kepada syarikat pemula yang memfokuskan isu alam sekitar.

    “Aigen akan menjadi salah satu gergasi industri pada masa depan,” kata Ketua Pembangunan Perniagaan Teknologi Iklim AWS, Lisbeth Kaufman.

    “Saya bayangkan Ford dengan Model T, atau Edison dengan mentol lampunya – begitulah Kenny, Rich dan Aigen.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda