BEIJING, 29 JUN – Walaupun pasukan bola sepak lelaki China tidak lagi mencetuskan keterujaan seperti dahulu, satu kejohanan robot manusia di Beijing berjaya memukau peminat – bukan kerana skil permainan, tetapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan sepenuhnya.
Empat pasukan robot manusia bersaing dalam perlawanan bola sepak 3-lawan-3 autonomi sepenuhnya malam kelmarin di ibu negara China, dalam acara yang dikatakan pertama seumpamanya di negara itu dan menjadi pratonton kepada World Humanoid Robot Games yang akan diadakan di Beijing tidak lama lagi.
Menurut penganjur, keunikan acara itu adalah semua robot beroperasi secara autonomi menggunakan strategi yang dikuasakan AI – tanpa sebarang campur tangan atau kawalan manusia.
Dilengkapi sensor visual canggih, robot-robot itu mampu mengenal pasti bola dan bergerak di padang dengan lincah. Ia juga direka untuk mampu bangun sendiri jika terjatuh. Namun, beberapa insiden lucu berlaku apabila ada robot terpaksa diangkat keluar padang menggunakan pengusung, seolah-olah kejadian sebenar dalam perlawanan bola sepak manusia.
China kini giat mempercepat pembangunan robot manusia berkuasa AI dengan menggunakan pertandingan sukan seperti maraton, tinju dan bola sepak sebagai medan ujian dunia sebenar.
Cheng Hao, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Booster Robotics – syarikat yang membekalkan robot tersebut berkata pertandingan sukan menyediakan platform ideal untuk menguji keupayaan robot manusia, sekali gus mempercepat pembangunan algoritma dan sistem perkakasan-perisian bersepadu.
Beliau turut menekankan bahawa keselamatan merupakan teras utama dalam aplikasi robot manusia. – AP
