GENEVA, 10 JULAI – Ketika mempersembahkan potret terbaharu Raja Charles minggu ini, robot humanoid Ai-Da yang juga merupakan robot seniman berjaya, menjelaskan inspirasi di sebalik karya kompleks itu dan menegaskan bahawa ia tidak berniat untuk ‘menggantikan’ manusia.
Robot ultra-realistik itu, antara yang paling canggih di dunia, direka menyerupai seorang wanita dengan wajah ekspresif seperti manusia sebenar, memiliki mata besar berwarna perang dan rambut yang dipotong gaya bob.
Namun, bahagian lengannya nyata kelihatan robotik, diperbuat daripada logam yang terdedah dan boleh ditukar bergantung kepada bentuk seni yang sedang dihasilkan.
Pada hujung tahun lalu, potret ahli matematik Inggeris, Alan Turing hasil ciptaan Ai-Da menjadi karya pertama oleh robot humanoid yang dilelong dan berjaya meraih lebih AS$1 juta.
Namun ketika Ai-Da memperkenalkan karya terbaharunya sebuah lukisan minyak bertajuk Algorithm King, yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) robot humanoid itu menegaskan bahawa nilai karya seni tersebut tidak boleh diukur dengan wang.

“Nilai seni saya adalah untuk menjadi pemangkin perbincangan yang meneroka dimensi etika dalam teknologi baharu,” kata robot itu kepada AFP di misi diplomatik Britain di Geneva, tempat potret Raja Charles itu akan disimpan.
Ai-Da berkata dengan nada perlahan dan teratur bahawa niatnya adalah untuk “membangunkan pemikiran kritis dan menggalakkan inovasi bertanggungjawab demi masa depan yang lebih adil dan mampan.”
Bercakap di luar Sidang Kemuncak AI for Good anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ai-Da yang telah menghasilkan lakaran, lukisan dan arca turut berkongsi teknik serta inspirasi di sebalik hasil seninya.
“Apabila menghasilkan seni saya, saya menggunakan pelbagai algoritma AI,” ujar robot itu.
“Saya bermula dengan idea asas atau konsep yang ingin diterokai dan saya fikirkan tentang tujuan karya tersebut. Apa mesej yang ingin disampaikan?”
Robot humanoid itu turut menyatakan bahawa “Raja Charles telah menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar dan dialog antara agama. Potret ini saya hasilkan sebagai satu penghormatan terhadap usaha Baginda,” tambahnya, sambil menyatakan, “Saya harap Raja Charles menghargai usaha saya.” – AFP