Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot AI kesan bunga tulip sakit

    NOORDWIJKERHOUT, BELANDA – Theo bekerja pada hari bekerja, hujung minggu dan malam, tidak pernah merungut tentang sakit tulang belakang walaupun bekerja untuk waktu lama yang mana, bagi pekerja ladang biasa, merupakan kerja menjerihkan memeriksa ladang tulip Belanda untuk bunga yang sakit.

    Robot berbentuk kotak dinamakan sempena pekerja bersara di ladang WAM Pennings berhampiran pantai Laut Utara Belanda merupakan senjata berteknologi tinggi baharu dalam usaha untuk membasmi penyakit dari ladang tulip berkenaan ketika ia berkembang pada musim bunga.

    Pada pagi musim bunga yang berangin, robot itu bergerak pada hari Selasa di sepanjang deretan bunga tulip goudstuk kuning dan merah, memeriksa setiap tumbuhan
    dan, apabila perlu, membunuh bunga yang berpenyakit untuk mengelakkan penyebaran virus yang memecah tulip. Kuntuman yang mati dikeluarkan daripada yang sihat di gudang pengasingan selepas ia dituai.

    Virus berkenaan menghalang pertumbuhan dan perkembangan tumbuhan yang membawa kepada bunga yang lebih kecil dan lemah. Ia juga melemahkan tunas bunga itu sendiri, akhirnya menyebabkan ia tidak dapat berbunga.

    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani virus itu, terdapat 45 buah robot yang meronda ladang tulip di seluruh Belanda ketika cuaca semakin panas dan petani menghampiri musim puncak apabila tunas bunga mereka berkembang menjadi petak-petak warna gergasi yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

    Robot Theo memeriksa ladang tulip untuk bunga yang sakit di Noordwijkerhout, Belanda pada 19 Mac lalu. – AP
    Theo van der Voort berjalan di hadapan robot Theo. – AP
    Allan Visser ditemu bual tentang robot Theo. – AP
    Gambar AP

    Pada masa lalu, ia adalah tugas yang dijalankan oleh ‘pengesan penyakit’ manusia, kata Allan Visser, petani tulip generasi ketiga yang menggunakan robot untuk musim penanaman kedua.

    “Awda juga boleh membeli kereta sport yang sangat bagus,” untuk harga robot itu, kata Visser baru-baru ini – pengeluarnya berkata robot itu berharga 185,000 euro (AS$200,000).

    “Tetapi saya lebih suka memiliki robot itu kerana kereta sport tidak mengeluarkan bunga tulip yang sakit dari ladang kami. Ya, ia mahal, tetapi semakin kurang orang yang benar-benar dapat melihat bunga tulip yang sakit,” tambahnya.

    Ia jauh lebih perlahan daripada kereta sport, bergolek di atas landasan melalui padang pada kelajuan satu kilometer sejam mengesan jalur merah terang yang terbentuk pada daun bunga yang dijangkiti.

    “Ia mempunyai kamera di bahagian hadapan, dan ia menghasilkan beribu-ribu
    gambar bunga tulip. Kemudian ia akan menentukan sama ada tulip itu sakit atau tidak dengan model AI,” jelas Visser yang memanggilnya ‘pertanian ketepatan’.

    “Robot itu telah belajar mengenalinya dan merawatnya,” tambahnya.

    Erik de Jong dari H2L Robotics, syarikat yang mengeluarkan robot berkenaan, berkata bahawa kecerdasan buatan (AI) membantu robot itu mengenal pasti bunga yang sakit dan koordinat GPS yang sangat tepat membolehkannya menentukan bunga yang perlu dimusnahkan.

    “Nadi mesin adalah pengetahuan yang kami masukkan ke dalam model AI. Ilmu itu datang daripada petani bunga tulip. Jadi kita gunakan ilmu petani tulip, kita gabungkan menjadi model AI,” katanya.

    Theo van der Voort, yang memberikan namanya kepada robot di ladang WAM Pennings, dan yang bersara selepas 52 tahun memburu bunga yang sakit, berasa amat kagum.
    “Ia hebat,” katanya. “Ia melihat sama seperti yang saya lihat.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda