TOKYO, 20 OGOS – Juruteknik Jepun di Loji Nuklear Fukushima menggunakan robot kawalan jauh untuk menilai tahap radiasi dalam bangunan reaktor rosak sebagai persiapan membersihkan sisa radioaktif.
Menurut jurucakap syarikat pengendali, Tokyo Electric Power Company (TEPCO), dua robot iaitu ‘Spot’ dan ‘Packbot’ dihantar kelmarin bagi mengukur tahap radiasi. Spot yang menyerupai anjing turut dilengkapi kamera, manakala kedua-duanya dipasang dengan dosimeter.
Hasil tinjauan itu akan menjadi asas kepada kaedah pengeluaran serpihan bahan api secara besar-besaran selepas
kemalangan nuklear terburuk dunia pada 2011, susulan gempa bumi dengan magnitud 9.0 mencetuskan tsunami besar.
Lebih 880 tan bahan berbahaya masih berada di dalam loji berkenaan dan operasi pengeluaran sepenuhnya dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya 2037, selepas ditangguhkan daripada sasaran awal 2030an.
Media tempatan NHK melaporkan kerja tinjauan dijangka berlangsung selama sebulan. Setakat ini, hanya sampel kecil bahan radioaktif berjaya diambil melalui projek percubaan untuk dianalisis di makmal. – AFP


