Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot gajah: Kekal tradisi dalam cara moden

    THRISSUR, INDIA – Ia mengibas-ngibaskan telinganya dan memancutkan air dari belalai yang melambai, tetapi gajah ini adalah replika mekanikal sebesar saiz sebenar yang dilancarkan untuk menggantikan haiwan terancam di kuil Hindu India.

    Diperbuat daripada gentian kaca dan getah, dan bergerak dengan berat pada rangka logam beroda yang cukup kuat untuk menampung seorang penunggang, model itu adalah salah satu daripada berpuluh-puluh yang diketengahkan oleh pejuang hak asasi haiwan sebagai alternatif untuk mengekalkan gajah dalam kurungan di India.

    Gajah digunakan semasa banyak upacara kuil Hindu, diarak melalui orang ramai yang sesak dengan lampu berkelip, gendang berdentum dan muzik yang nyaring.

    Serangan maut oleh haiwan pakiderma yang panik adalah perkara biasa.

    “Ia adalah haiwan liar, ia suka tinggal di dalam hutan, ” kata C.G. Prakash, 68, bekas pegawai di kuil Chakkamparambu Bhagavathy yang popular di negeri Kerala di selatan India.

    Gambar yang diambil pada 25 Februari 2025 menunjukkan seorang pekerja memberikan sentuhan terakhir kepada model robot gajah di sebuah bengkel di Thissur, India.- AFP
    Seorang pekerja menghalusi gading untuk robot gajah .- AFP
    Seorang pengunjung menyentuh belalai robot gajah yang dilancarkan untuk menggantikan haiwan terancam di kuil Hindu India.- AFP
    Para pekerja menolak model robot gajah yang disiapkan.- AFP
    Gambar AFP

    “Kami menangkapnya dan menyeksanya. Ia sama sekali tidak beretika.”

    Prakash memainkan peranan penting dalam membawa robot gajah ke kuil.

    Ia disumbangkan oleh Voice for Asian Elephants Society, yang berkata ia akan membantu ‘tradisi kuil tanpa kekejaman.’

    KEKAL BERSAMA KELUARGA MEREKA

    Kempen dari People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) India berkata lebih daripada 2,700 gajah dalam kurungan di negara itu sering berdepan ‘tekanan fizikal dan psikologi yang teruk.’

    Walaupun haiwan ternakan, ia sering dikurung bersendirian dan dirantai sepanjang hari.

    PETA telah membiayai lebih daripada 12 model sejak 2023, disumbangkan dengan syarat kuil memindahkan gajah mereka ke tempat perlindungan yang diluluskan.

    “Gajah mekanikal membantu mengekalkan tradisi lama dalam cara moden,” kata Khushboo Gupta dari PETA.

    “Mereka membantu memastikan gajah sebenar boleh kekal bersama familinya di habitat hutan semula jadi.”

    Seperti gajah sebenar, model disarungkan dengan hiasan kepala emas dan dihiasi dengan kalungan bunga.

    Pembuat model berkata versi mewah lengkap dengan motor elektrik yang menggerakkan kepala yang mengangguk, mata berguling dan ekor berpusing seperti gajah hidup boleh menelan kos lebih daripada AS$5,500.

    Pembuat model profesional Prasanth Prakasan, 42, berkata dia dan tiga rakannya mula membuat model gajah sebagai projek seni, tetapi gembira mereka kini membantu melindungi haiwan sebenar.

    “Apa yang kami lakukan adalah menyelamatkan gajah, dan kami gembira mengenainya,” katanya.

    Pasukan itu telah membuat hampir 50 gajah seperti itu – dengan pengeluaran di bengkel membina beberapa lagi.

    Bagi mereka yang meminati gajah di majlis perkahwinan mereka, model boleh disewa tanpa permit. Untuk gajah sebenar, mereka perlu membuat permohonan permit dan sering kali prosesnya menyusahkan.

    DIEKSPLOITASI

    Kemalangan membabitkan gajah yang mengamuk memijak orang ramai adalah perkara biasa dan beberapa kuil beralih kepada model gajah dengan alasan keselamatan jemaah mereka.

    Pada Februari sahaja, PETA merekodkan insiden di Kerala yang melibatkan sembilan gajah dalam kurungan hilang kawalan, dengan lima orang terbunuh.

    Dalam satu kejadian, seekor gajah di sebuah perayaan telah ketakutan dengan bunga api, mencucuk rakannya dengan gading dan mencetuskan rempuhan yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang.

    “Mereka yang menjaga gajah berkenaan, ramai yang tidak mengikut peraturan,” kata V.K.

    Venkitachalam, 60, daripada kumpulan hak Pasukan Petugas Haiwan Warisan.

    Kebajikan haiwan juga semakin mendapat perhatian.

    Pada bulan November, Mahkamah Tinggi Kerala mengeluarkan garis panduan untuk rawatan yang lebih baik terhadap gajah dalam kurungan.

    “Penggunaan haiwan itu sering diwajarkan berdasarkan asas tradisi dan amalan agama,” tulis mahkamah.

    Tetapi “haiwan dieksploitasi secara komersial tanpa sebarang penjagaan atau keprihatinan terhadap kesejahteraan haiwan berkenaan”, katanya.

    Garis panduan itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Agung dengan mengatakan garis panduan itu tidak praktikal.

    TANPA KEGANASAN

    Terdapat kurang daripada 50,000 gajah Asia di alam liar, menurut Dana Hidupan Liar Dunia, kebanyakannya di India, dengan yang lain di Sri Lanka dan Asia Tenggara.

    Spesies itu terancam, menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

    Apabila habitat gajah mengecil, konflik antara manusia dan gajah liar telah meningkat – 629 orang telah dibunuh oleh gajah di seluruh India pada 2023-2024, menurut angka parlimen.

    Dalam tempoh yang sama, 121 gajah telah dibunuh sebahagian besarnya oleh pagar elektrik yang kuat, serta oleh pemburuan haram, keracunan dan dilanggar oleh kereta api.

    Bagi aktivis hak asasi haiwan, model gajah adalah penyelesaian selamat yang sesuai dengan prinsip agama.

    “Inisiatif ini menghormati ahimsa, atau tanpa kekerasan, prinsip agama Hindu”, kata Gupta PETA kepada AFP.

    Dalam kalangan sesetengah jemaah, model itu memberikan kelegaan.

    “Apabila ia adalah gajah hidup, timbul ketakutan dalam kalangan kita. Bagaimana jika ia mengamuk?” kata guru berusia 58 tahun, Jayasree Sivaraman Narayaneeya.

    “Memandangkan ia adalah gajah robotik, kami berasa lebih selamat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda