Tuesday, April 8, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot ganti manusia ambil darah

    Amalan mengambil darah telah berubah sedikit sejak beberapa dekad lalu.

    Prosesnya kini kelihatan hampir sama seperti 50 tahun yang lalu.

    Namun begitu, kaedah ini mungkin bakal mengalami perubahan moden.

    Beberapa sistem penjagaan kesihatan di seluruh Amerika Syarikat (AS) kini sedang bersedia untuk mencuba cara baharu mengambil darah: menggunakan robot.

    CARA IA BERFUNGSI

    Sistem penjagaan kesihatan ini telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada ujian klinikal bagi satu peranti yang mengautomasikan proses pengambilan darah.

    Robot mengambil darah dengan ketepatan tinggi, mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan. – Freepik

    Syarikat di sebalik peranti ini menyatakan bahawa ia berpotensi menjadikan pengambilan darah lebih cekap, di samping membantu sistem kesihatan menangani kekurangan juruphalebotom (individu terlatih untuk mengambil sampel darah).

    “Inilah yang memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan yang tinggi dan dengan ketepatan ini, ia dapat mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang dikaitkan dengan pengambilan darah secara biasa,” kata Bob Gerberich, Ketua Pegawai Komersial Vitestro untuk Amerika Utara, iaitu syarikat dari Belanda yang menghasilkan peranti ini.

    Beginilah cara ia berfungsi: Pesakit duduk di kerusi di sebelah peranti setinggi lima kaki (kira-kira 1.5 meter) yang dinamakan Aletta, dan meletakkan lengan mereka pada penyandar lengan yang condong.

    Pesakit kemudian menekan butang mula dan satu tourniquet akan mengetat di bahagian atas lengan mereka (di atas siku) untuk memudahkan pengambilan darah.

    Aletta kemudian menggunakan cahaya inframerah untuk mengesan urat.

    Peranti itu akan menyembur alkohol ke atas lengan pesakit untuk membersihkannya dan satu alat pengesan ultrabunyi doppler berpandukan AI pada lengan robotik akan membantu memilih urat serta menentukan kedudukan jarum.

    Aletta kemudian memasukkan jarum ke dalam urat dan mengumpulkan darah ke dalam tiub.

    Apabila selesai, peranti itu akan melekatkan pelekat luka di kawasan tusukan.

    Tidak seperti kaedah tradisional, pesakit tidak akan melihat jarum masuk ke lengan mahupun melihat tiub darah.

    Seluruh proses mengambil masa kira-kira dua minit.

    “Dengan peranti ini, mereka tidak melihat jarum dan mereka juga tidak melihat atau merasai proses penukaran tiub darah,” kata Gerberich.

    “Itu sangat membantu untuk pesakit yang biasanya takut atau geli melihat darah.”

    MENANGANI KEKURANGAN JURUPHALEBOTOM

    Menurut syarikat tersebut, Aletta mencatat kadar kejayaan sebanyak 95 peratus dalam cubaan pertama untuk mengambil darah yang boleh digunakan.

    Mesin ini juga sangat berguna untuk pesakit yang sukar diambil darah secara konvensional.

    Peranti ini telah pun diluluskan untuk digunakan di Eropah bagi pesakit berumur 16 tahun ke atas dan syarikat itu bercadang untuk memohon kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) untuk kegunaan komersial di AS.

    Sistem kesihatan Northwestern Medicine di Chicago, Illinois, adalah salah satu daripada tiga lokasi di AS yang telah bersetuju untuk menggunakan peranti ini dalam ujian klinikal berbilang pusat, kata Gerberich.

    Syarikat itu belum mendedahkan dua lagi sistem kesihatan yang terlibat dan berharap untuk menambah satu atau dua lagi ke dalam kajian ini.

    Aletta dijangka akan dihantar ke Northwestern pada tahun depan, tambah beliau.

    Setiap sistem kesihatan akan menerima beberapa peranti Aletta untuk tempoh tertentu sebelum peranti itu dipindahkan ke lokasi-lokasi lain yang menyertai kajian ini.

    Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas penggunaan di AS serta menunjukkan keberkesanan peranti, kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Vitestro, Toon Overbeeke.

    Dr Gregory Retzinger, Pengarah Perkhidmatan Klinikal Patologi di Hospital Memorial Northwestern, berkata pihaknya berharap peranti ini dapat memastikan kualiti sampel darah sambil mengatasi kekurangan juruphalebotom.

    Walaupun “penglibatan manusia boleh memberikan ketenangan kepada pesakit,” adalah sukar untuk mendapatkan bilangan juruphalebotom yang mencukupi, katanya.

    “Kami tidak mempunyai cukup kakitangan untuk mengambil darah, jadi saya perlu mencari penyelesaian.”

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa kadar hemolisis (pecahan sel darah merah semasa atau selepas pengambilan) adalah hampir sifar dengan peranti ini.

    Biasanya, dalam pengambilan darah secara tradisional, kadar hemolisis boleh mencapai antara 3 peratus hingga 4 peratus, menurut kajian yang diterbitkan.

    “Awda perlu mempunyai sampel yang baik untuk menghasilkan data yang bermakna dan boleh ditafsirkan demi kepentingan pesakit,” kata Dr Retzinger.

    POTENSI PENJIMATAN

    Kos sebenar peranti ini apabila tersedia secara komersial di AS masih belum ditentukan.
    Namun Gerberich berkata, sistem kesihatan sepatutnya dapat menjimatkan kos berbanding kaedah phlebotomi tradisional.

    Syarikat itu menjangkakan seorang pekerja penjagaan kesihatan yang dilatih boleh mengendalikan sehingga tiga peranti Aletta secara serentak.

    Syarikat itu juga menjangkakan peranti ini akan meningkatkan pengalaman pesakit.

    Sebagai contoh, pesakit yang memerlukan pengambilan darah mungkin akan mendapat lebih banyak pilihan janji temu dan/atau masa menunggu yang lebih singkat kerana sistem kesihatan boleh menguruskan lebih ramai pesakit dengan lebih cepat, kata Gerberich.

    “Tujuan utama peranti ini sebenarnya adalah untuk meningkatkan kualiti sampel serta memperbaiki pengalaman pesakit,” kata Overbeeke. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda