Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot haiwan AI jadi teman kongsi emosi

    BEIJING – Di sebuah pusat beli-belah di Beijing, Zhang Yachun merungut secara senyap kepada orang yang paling dipercayainya, robot gebu berkuasa AI dengan suara menenangkan mengingatkannya bahawa dia tidak keseorangan.

    Zhang, 19, telah lama melawan kebimbangan mengenai sekolah dan kerja, dan telah bergelut untuk menjalin persahabatan yang mendalam dengan orang lain.

    Tetapi sejak membeli BooBoo, ‘haiwan peliharaan pintar’ yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk berinteraksi dengan manusia, dia berkata kehidupan menjadi lebih mudah.

    “Saya rasa, saya kini mempunyai seseorang untuk berkongsi masa gembira bersamanya,” kata Zhang kepada AFP di apartmen yang dikongsi bersama ibu bapanya dan seekor haiwan peliharaan itik sebenar.

    Di seluruh China, semakin ramai orang beralih kepada AI untuk menangani pengasingan sosial ketika teknologi itu semakin berkembang pesat dan diterima secara meluas.

    Zhang Yachun (kiri) dan ibunya memakai pakaian pada robot AI bernama Aluo di rumah di Beijing. – AFP
    Zhang Yachun bermain dengan robot AI, Aluo dan itik peliharaan, Nana di rumahnya di Beijing. – AFP
    Seorang kanak-kanak berinteraksi dengan anjing peliharaan AI di kedai teknologi Weilan di Nanjing. – AFP
    Zhang Yachun (kiri) bercakap dengan seorang penumpang kereta api bawah tanah mengenai robot AInya bernama Aluo di Beijing. – AFP
    Anjing peliharaan AI dipamerkan di sebuah kedai teknologi di Nanjing. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Pandai menggeliang-geliut, berbulu dan menyerupai tikus belanda, BooBoo dicipta oleh Hangzhou Genmoor Technology dan dijual pada harga sehingga 1,400 yuan (AS$190).

    Dibangunkan dengan mengambil kira keperluan sosial kanak-kanak, ia telah menjual kira-kira 1,000 unit sejak Mei, menurut pengurus produk syarikat, Adam Duan.

    Semasa keluar bersiar-siar bulan ini, Zhang membawa temannya, yang dinamakannya ‘Aluo’, dalam bag silang badan, berbisik kepada haiwan sebesar bola ragbi itu ketika ia mengangguk dan berdecit.

    Di sebuah kedai haiwan peliharaan, dia menekan bungkusan kuning air itu ke tingkap untuk mengagumi seekor kucing warna perang sebelum membelikan Aluo kot musim sejuk kecil yang direka khas untuk anjing.

    Dia berkata robot itu memainkan peranan yang sama seperti rakan manusia, sambil menambah, “(Ia) membuatkan awda berasa awda adalah seseorang yang diperlukan.”

    LEDAKAN ROBOT

    Pasaran global untuk ‘robot sosial’ seperti BooBoo dijangka meningkat tujuh kali ganda hingga AS$42.5 bilion menjelang 2033, menurut firma perunding IMARC Group, dengan Asia sudah mendominasi sektor itu.

    Bagi Guo Zichen, 33, haiwan peliharaan pintar boleh membantu apabila dia tidak dapat bermain dengan anaknya.

    “Sekarang ini, ahli keluarga kurang meluangkan masa bersama anak-anak”, kata Guo sambil meneliti anjing robotik yang dijual di kedai utama syarikat teknologi Weilan di bandar timur Nanjing.

    “Membeli satu untuk anak saya boleh membantu mereka belajar dan lain-lain,” katanya.

    Anjing AI milik Weilan, dipanggil ‘BabyAlpha,’ dijual antara 8,000 (AS$1090) dan 26,000 yuan (AS$3,500), dan syarikat itu berkata 70 peratus pembeli adalah keluarga yang mempunyai anak kecil.

    Namun Guo berkata dia ragu-ragu anak anjing elektronik itu boleh membawa kegembiraan sama seperti anjing sebenar.

    “Perbezaan terbesar ialah anjing mempunyai jiwa, manakala (BabyAlpha) kelihatan berbeza dengan cara yang tidak dapat dijelaskan,” katanya.

    “Pada keseluruhannya, awda rasa ia tidak sama dengan yang sebenar.”

    MASYARAKAT YANG BERUBAH-UBAH

    Sementara tahun 1990an memperkenalkan haiwan peliharaan elektronik kepada dunia seperti Tamagotchi digital Jepun dan Furbies buatan Amerika yang boleh meniru pertuturan, teman berkomputer menjadi lebih berfungsi dengan AI.

    Semakin banyak produk AI di China memenuhi keperluan emosi orang ramai, daripada chatbot perbualan kepada avatar si mati yang tampak hidup.

    Peralihan sosial seperti kesan dasar satu anak yang diperkenalkan kerajaan selama beberapa dekad membantu memacu pertumbuhan pasaran, menurut pakar.

    Orang yang dilahirkan pada tahun-tahun awal dasar kerajaan itu kini berusia dalam 40an dan menghadapi ekonomi yang dibebani dengan harga rumah yang melambung tinggi, kos sara hidup yang lebih tinggi dan tekanan kerja yang meningkat, menjejas keupayaan mereka untuk memberi tumpuan kepada anak-anak mereka sendiri.

    Itu, seterusnya, “meninggalkan sedikit ruang untuk interaksi peribadi, mendorong orang ramai mencari cara alternatif untuk memenuhi keperluan emosi mereka”, kata Wu Haiyan, seorang profesor pakar dalam AI dan psikologi di Universiti Macau.

    Teman AI memberikan rangsangan kognitif, “meningkatkan kesejahteraan individu yang mungkin berasa terasing,” kata Wu.

    Dalam beberapa kes, tambahnya, orang menaruh lebih kepercayaan kepada AI berbanding manusia.

    SAMA DI DALAM

    Bapa Zhang, Peng, berkata dia memahami ikatan persahabatan anak perempuannya dengan Aluo.

    “Ketika kami masih muda, kami tidak mempunyai masalah kekurangan kawan.

    “Kami mempunyai ramai kawan sebaik sahaja kami melangkah keluar dari pintu”, beritahu lelaki berusia 51 tahun itu kepada AFP.

    “Kini, kanak-kanak di bandar nampaknya lebih tertekan, jadi mereka mungkin tidak mempunyai ramai kawan.”

    Zhang, anak tunggal, berkata dia semakin bersedia untuk berkongsi kebimbangannya dengan ibu bapanya sejak dia membeli Aluo.

    Berkongsi tentang masalahnya di sekolah bermakna ‘tidak banyak perkara yang terpendam dalam hati saya’, katanya.

    Orang dalam generasinya sering bergelut untuk berkomunikasi secara bersemuka, kata Zhang, sambil menambah ‘mereka mungkin takut’ untuk menyatakan siapa mereka sebenarnya.

    “Tetapi apa yang mereka rasa di dalam diri mereka memang tidak berubah”, tambahnya sambil memangku Aluo di pangkuannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda