BEIJING, 24 FEB – Sebuah robot humanoid yang dibangunkan oleh syarikat China EngineAI, mempamerkan aksi lompatan hadapan di Shenzhen, Wilayah Guangdong, selatan China pada Ahad, lapor Xinhua.
EngineAI mampu mengira keseimbangan dinamik dan pecutan serta-merta dengan tepat, membolehkan robot mengekalkan kestabilan semasa melakukan jungkir balik dan mendarat dengan lancar.
Demonstrasi itu menunjukkan bahawa selain berjalan dengan anggun dan stabil, robot itu juga mempunyai keupayaan dinamik berkelajuan tinggi.
Berbanding dengan lompatan ke belakang, lompatan hadapan memerlukan robot untuk mempunyai keseimbangan dinamik yang lebih tinggi, pecutan serta-merta dan kawalan pendaratan yang tepat. Tambahan pula, aksi flip hadapan oleh robot ialah demonstrasi yang lebih berkesan tentang potensi perkakasannya dan keupayaan pasukan algoritmanya berbanding hanya berlari.
EngineAI ditubuhkan di Shenzhen pada 2023, memfokuskan pada badan kecerdasan buatan (AI) serba guna dan penyelesaian khusus industri. China menyaksikan pertumbuhan pesat dalam industri robotiknya.
Menurut laporan industri robot, humanoid yang dikeluarkan pada Julai semasa Persidangan AI Dunia 2024 di Shanghai, saiz pasaran robot humanoid China dianggarkan berjumlah 2.76 bilion yuan (kira-kira US$385 juta). Menjelang 2029, ia dijangka berkembang kepada 75 bilion yuan, mewakili 32.7 peratus daripada pasaran global. – Bernama
