BEIJING, 18 OGOS – Robot humanoid berlari dan bertinju dalam tempoh tiga hari pertandingan pelbagai sukan di World Humanoid Robot Games yang berakhir kelmarin di Beijing, China.
Namun, ada juga yang tumbang, terhempas dan rebah, memerlukan bantuan manusia – sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana sebenarnya robot mampu berfungsi secara kendiri.
Pertandingan itu menampilkan lebih 500 robot humanoid daripada 280 pasukan mewakili 16 negara, termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Mereka bersaing dalam acara seperti bola sepak, larian dan tinju di National Speed Skating Oval berkapasiti 12,000 penonton, yang dibina untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.
Acara ini berlangsung ketika China mempergiat usaha membangunkan robot humanoid berkuasa kecerdasan buatan (AI).
Robot kerap dilihat berdekatan dengan pengendalinya – sama ada dikawal dari jauh, dipegang, diangkat, disusun atau dipisahkan. Bateri perlu diganti dan anggota badan diselaraskan.
Walaupun robot mempamerkan beberapa pergerakan mengagumkan, ada yang tersadung dan memerlukan campur tangan manusia. Malah, ada yang terpaksa diusung keluar oleh dua orang, seperti atlet yang cedera – memperlihatkan keterbatasan yang masih dihadapi mesin tersebut. – AP


