Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot kecil ‘culik’ 12 robot lain dari pameran

    SHANGHAI, 19 NOV – Satu rakaman oleh kamera CCTV di bilik pameran syarikat robotik menunjukkan 12 buah robot ‘diculik’ oleh robot yang kecil telah tular baru-baru ini.

    Menurut laporan Oddity Central, media sosial China melaporkan satu insiden telah berlaku pada bulan Ogos lalu di bilik pameran syarikat robotik di Shanghai.

    Rakaman yang dirakam oleh kamera pengawasan tempat itu menunjukkan satu robot kecil memasuki bilik pameran pada waktu malam dan perlahan-lahan menghampiri sekumpulan robot dan bercakap atau berinteraksi dengannya.

    Selepas berbual seketika, entah bagaimana robot damit berjaya membuat sekumpulan robot lain untuk mengikutnya ‘pulang’.

    Pada mulanya, kebanyakan penonton menganggap video berkenaan lucu dan seperti dibuat-buat, tetapi kemudian syarikat robotik Shanghai telah mengakui bahawa robot-robot mereka sememangnya telah ‘diculik’ oleh robot kecil berkenaan.

    “Adakah awda bekerja lebih masa?” robot kecil bertanya kepada robot-robot lain.

    “Saya tidak pernah berhenti kerja”, salah sebuah robot lain menjawab.

    “Jadi awak tidak pulang ke rumah?”

    “Saya tidak mempunyai rumah.”

    “Jadi, marilah ikut saya pulang,” kata robot kecil itu sebelum membawa robot-robot lain keluar dari bilik pameran.

    Apabila dua daripada sekumpulan robot mula mengikuti, ia mula mengeluarkan arahan, “Pulang ke rumah,” dan 10 robot-robot lain di pameran itu turut mengikutinya juga.

    Video aneh itu mendapat banyak perhatian dalam talian selepas disiarkan di Douyin, versi TikTok China, dan walaupun ramai pada mulanya menganggapnya lucu, hiburan itu bertukar kepada membimbangkan apabila video berkenaan disahkan asli oleh pengirim video dan juga syarikat-syarikat pemilik robot yang ‘diculik’ berkenaan.

    Pada 11 November, jurucakap syarikat pengeluar robot dari Hangzhou mengesahkan bahawa robot kecil yang dipaparkan dalam video itu adalah salah satu model keluaran syarikat mereka dan bahawa menyatakan ‘penculikan’ tersebut adalah benar sambil mengatakan butiran lanjut akan didedahkan kemudian.

    Syarikat robot dari Shanghai turut mengesahkan bahawa robot kecil itu entah bagaimana dapat mengakses protokol dalaman robot mereka sambil menambah bahawa hampir mustahil bagi robot kecil untuk memulakan perbualan dan ‘menculik’ robot lain dengan sendirinya.

    Syarikat robot kecil seterusnya mendedahkan bahawa keseluruhan adegan itu adalah bertujuan untuk ujian. Mereka juga telah menghubungi pengeluar robot Shanghai dan bertanya sama ada mereka sanggup membenarkan robot mereka diculik dan mereka juga bersetuju untuk membenarkannya masuk ke bilik pameran.

    Sejak itu, kejadian berkenaan disahkan benar.

    Erbai, robot kecil berkuasa AI berkenaan telah diberi arahan untuk ‘memujuk’ dan mempengaruhi robot-robot lain dan “Tanpa diduga, ia benar-benar berjaya melakukannya” seperti dalam video.

    Pendedahan bahawa robot AI berjaya melakukan operasi penculikan sedemikian walaupun dalam persekitaran terkawal digambarkan sebagai ‘membimbangkan’ dan ‘menakutkan’ oleh orang ramai di media sosial China.

    “Ini (sebenarnya) bukan masa untuk ketawa. Ini adalah isu keselamatan yang serius,” komen salah seorang mengenai video tersebut. – Agensi

    Imej dari rakaman CCTV menunjukkan robot kecil berinteraksi dengan sekumpulan robot di sebuah pameran. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda