Wednesday, November 27, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot Laibo 2 cipta sejarah, lengkap maraton dengan sekali cas 

    SANGJU, 27 NOV – Robot berkaki empat, Laibo 2, yang dibangunkan di Korea Selatan, mencipta sejarah apabila menjadi robot pertama menamatkan maraton penuh sejauh 42.195 kilometer (km) dengan hanya sekali cas bateri. 

    Menurut Oddity Central, Laibo 2 merupakan hasil inovasi Profesor Hwangbo Je-min dan pasukannya dari Institut Sains dan Teknologi Lanjutan Korea (KAIST), berjaya melengkapkan larian tersebut dalam masa 4 jam, 19 minit dan 52 saat semasa Sangju Dried Persimmon Marathon ke-22. 

    Robot seberat 42 kilogram itu menghadapi cabaran termasuk laluan berbukit dan perlunya mengelak pelari lain sambil memastikan penggunaan tenaga yang cekap bagi menamatkan perlumbaan. 

    Laibo 2 berjaya menamatkan maraton penuh sejauh 42.195km dengan hanya sekali cas bateri. – Agensi

    Percubaan pertama Laibo 2 pada Festival Ginseng Geumsan tahun lalu tidak berjaya apabila baterinya habis selepas 37km. Kegagalan tersebut mendedahkan kelemahan dalam keupayaan robot mengekalkan kelajuan berterusan akibat brek dan pecutan kerap. 

    Susulan itu, pasukan penyelidik memperkenalkan beberapa penambahbaikan utama, termasuk bateri dengan kapasiti lebih besar dan sistem AI canggih. Sistem AI tersebut membolehkan Laibo 2 menyimpan tenaga kinetik yang dijana semasa menuruni bukit, sesuatu yang mustahil tanpa kawalan AI. 

    Laibo 2 dilengkapi dua kamera di bahagian hadapan dan belakang untuk mengesan ciri-ciri permukaan serta sensor pada sendi untuk mengoptimumkan pergerakan. Sistem itu membolehkan robot melintasi pelbagai jenis permukaan dengan cekap sambil mengelakkan perlanggaran. 

    Robot itu bukan sahaja mencatat rekod dengan menamatkan maraton penuh, malah pengubahsuaian yang dilakukan membolehkan ia berlari sehingga 67km dalam garis lurus. Autonomi bateri lapan jam Laibo 2 turut melebihi Spot, robot terkenal dari Boston Dynamics.  – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda