Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot manusia bakal terajui gelombang baharu AI fizikal

    TOKYO – Sepasang lengan robot berpusing yang menyerupai manusia, dibina untuk penyelidikan kecerdasan buatan (AI) fizikal, meniru pergerakan seorang operator yang memakai set kepala VR sambil memusingkan tangannya seperti seorang ahli silap mata.

    Dengan latihan mencukupi, lengan seperti ini mampu menyelesaikan tugasan harian secara autonomi, kata syarikat Tokyo, Enactic, yang membangunkan robot manusia bagi kerja-kerja seperti membasuh pinggan dan mencuci pakaian di rumah jagaan Jepun yang kekurangan tenaga kerja.

    Selamat datang ke masa depan AI ketika ia mula menembusi dunia fizikal melalui robot pintar, kereta pandu sendiri dan pelbagai mesin autonomi yang lain.

    “Gelombang AI seterusnya ialah AI fizikal,” kata Jensen Huang, ketua gergasi cip AS Nvidia, tahun lalu.

    Ia adalah ‘AI yang memahami hukum fizik, AI yang boleh bekerja bersama kita’ dan memahami ‘cara melihat dunia,’ tambah Huang.

    Robot manusia generasi baharu Xpeng, Iron, berjalan ketika melawat bilik pameran di ibu pejabatnya di Guangzhou, wilayah Guangdong di selatan China. – AFP
    Orang ramai mengambil gambar dengan telefon bimbit mereka semasa persembahan robot Unitree di Web Summit di Parque das Nacoes, Lisbon. – AFP
    Imej jarak dekat robot manusia berkaca mata di INCLUSION 2025 SHANGHAI, Huangpu World Expo Park, Shanghai, China. – AFP
    Gambar Freepik

    Syarikat teknologi kini melabur besar-besaran dalam AI fizikal, dengan Morgan Stanley meramalkan dunia boleh memiliki lebih satu bilion robot manusia menjelang 2050.

    Kebangkitan itu dipertingkat oleh video yang menunjukkan android canggih, selalunya buatan China, menari mengikut lagu Taylor Swift atau mengangkat objek berat dengan mudah.

    Di sebalik janji robot pembantu rumah ala sains fiksyen, perlumbaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan, privasi dan tempoh masa diperlukan sebelum inovasi ini benar-benar berguna.

    Hiro Yamamoto, Ketua Enactic berusia 24 tahun, berkata peranti latihan AI fizikal syarikatnya, OpenArm, digunakan oleh Nvidia dan universiti elit seperti Stanford.

    Beliau merancang untuk mula memperkenalkan robot baharu, yang kini dalam pembangunan, seawal musim panas hadapan untuk ‘hidup bersama manusia dalam persekitaran yang amat kecoh dan sentiasa berubah’ seperti rumah jagaan.

    “Jadi ia perlu selamat,” dengan bahagian luar lembut yang tidak mencederakan sesiapa,” kata Yamamoto.

    ‘HAMPIR SEMUA PERANAN MANUSIA’

    Di bandar Guangzhou, China, patung wanita dengan visor berbentuk bujur bercahaya, memakai fabrik tenunan putih seperti atlet lawan pedang, berjalan perlahan di atas pentas minggu lalu sambil disambut sorakan dan bisikan.

    Itulah robot manusia terbaharu yang diperkenalkan oleh pembuat kenderaan elektrik China, XPeng, yang turut melabur dalam AI fizikal.

    Mesin lincah dari Amerika Syarikat (AS) seperti robot berkaki empat Boston Dynamics sering mencuri perhatian baru-baru ini.

    Namun sokongan kerajaan dan rantaian bekalan domestik yang kukuh membantu saingan China seperti Unitree Robotics dan EngineAI mendahului dalam perlumbaan.

    “Saya belum memikirkan berapa banyak robot yang akan kami jual setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang, tetapi saya rasa ia akan lebih banyak daripada kereta,” kata CEO XPeng, He Xiaopeng.

    Robot XPeng mampu berjalan dan menari secara automatik, namun keupayaan mereka mengendalikan objek, satu tugas yang lebih rumit, belum dibuktikan secara meluas.

    Jari lincah dan kulit fleksibel mereka dijangka tidak akan menggantikan pekerja kilang China dalam masa terdekat, kata He.

    Kos satu tangan robot, yang perlu diganti secara berkala bagi kerja berat, boleh menampung gaji seorang pekerja selama bertahun-tahun.

    Namun dengan data dan latihan mencukupi, robot manusia AI suatu hari nanti boleh melaksanakan ‘hampir semua peranan manusia,’ daripada penjaga kanak-kanak kepada tukang masak rumah atau tukang kebun, kata Naib Presiden XPeng, Brian Gu.

    LATIHAN DALAM KERJA

    Alat AI berasaskan teks seperti ChatGPT dilatih dengan jumlah data perkataan yang besar, tetapi model AI fizikal perlu menangani penglihatan dan hubungan ruang antara objek.

    Buat masa ini, mengendalikan robot AI dari jauh untuk mengajar mereka tugas seperti mengambil cawan ‘adalah cara paling dipercayai untuk mengumpulkan data,’ kata Yamamoto.

    Hanya 30 hingga 50 demonstrasi bagi setiap tugas diperlukan untuk memperhalusi model AI ‘penglihatan-bahasa-tindakan,’ tambahnya.

    Enactic telah menghubungi beberapa puluh fasiliti penjagaan di Jepun untuk mencadangkan robot teleoperasi mereka mengambil alih tugas remeh, supaya pekerja penjagaan bertauliah mempunyai lebih banyak masa menjaga warga emas.

    Pengalaman kerja sebenar ini akan melatih model AI fizikal agar robot boleh bertindak secara autonomi pada masa depan, kata Yamamoto.

    Firma AS-Norway, 1X, menggunakan pendekatan sama untuk robot pembantu rumah mereka, NEO, yang akan dihantar ke rumah-rumah di Amerika mulai tahun hadapan.

    NEO berharga AS$20,000, tetapi setakat ini prestasinya masih lemah, dengan satu video di media AS menunjukkan robot itu bergelut menutup pintu mesin basuh pinggan, walaupun dikendalikan dari jauh.

    KEKANGAN FIZIKAL

    Dalam satu insiden memalukan lain, robot manusia Rusia yang dikatakan sebagai yang pertama di negara itu, terhuyung-hayang dan jatuh tersungkur ketika membuat penampilan sulung di atas pentas minggu ini.

    Kini timbul ‘jurang besar’ antara sistem AI robot dan keupayaan fizikal mereka yang masih jauh ketinggalan, kata Sara Adela Abad Guaman, Penolong Profesor Robotik di University College London.

    “Alam semula jadi menunjukkan bahawa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, awda perlu mempunyai tubuh yang sesuai,” kata Abad, sambil memberi contoh
    kambing gunung yang mudah tergelincir di atas ais.

    Namun begitu, perjanjian besar terus dimeterai, walaupun pelaburan besar dalam kecerdasan buatan menimbulkan kebimbangan gelembung pasaran saham.

    SoftBank Jepun baru-baru ini menyifatkan AI fizikal sebagai ‘had seterusnya’ ketika ia mengumumkan pembelian pembuat robot industri ABB Robotics pada harga AS$5.4 bilion.

    Automasi menimbulkan persoalan mengenai masa depan tenaga kerja manusia, namun Abad tidak terlalu bimbang.

    Akhirnya, ‘deria sentuhan kita tidak dapat ditandingi,’ katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda