SHANGHAI, 27 JULAI – Menghidang bir kraf, bermain mahjung, menyusun barangan dan bertinju — puluhan robot manusia yang dipamerkan di Persidangan AI Sedunia (WAIC) di Shanghai hujung minggu ini menjadi lambang kemajuan dan cita-cita besar China dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Acara tahunan itu bertujuan menampilkan kemajuan China dalam bidang AI yang sentiasa berkembang pesat, selaras dengan usaha kerajaan untuk meletakkan negara itu sebagai peneraju global bukan sahaja dari segi teknologi, malah peraturan dalam persaingannya dengan Amerika Syarikat (AS).
Ketika merasmikan acara tersebut kelmarin, Perdana Menteri China, Li Qiang mengumumkan penubuhan sebuah organisasi baharu bagi kerjasama dalam tadbir urus AI, sambil mengingatkan bahawa manfaat pembangunan teknologi perlu diseimbangkan dengan risikonya.
Namun, di dewan pameran berhampiran, suasananya lebih memberangsangkan daripada membimbangkan.
“Permintaan ketika ini sangat tinggi, baik dari segi data, senario, latihan model mahupun pembinaan kecerdasan buatan. Keseluruhan suasana dalam semua aspek ini amat rancak,” kata Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Transwarp, Yang Yifan, sebuah penyedia platform AI yang berpangkalan di Shanghai.

WAIC tahun ini merupakan acara yang pertama selepas kejayaan besar bagi AI di China pada Januari lalu, apabila syarikat pemula DeepSeek memperkenalkan model AI yang setanding dengan sistem terkemuka AS, namun dengan kos yang jauh lebih rendah.
Penganjur memaklumkan bahawa forum ini melibatkan lebih 800 syarikat dan mempamerkan lebih 3,000 produk tarikan utama pengunjung terhadap robot manusia dengan pelbagai aksi demonstrasi yang agak pelik tetapi menghiburkan.
Di salah satu reruai, sebuah robot bermain dram, sedikit tersasar dari rentak, mengiringi lagu We Will Rock You oleh Queen, sementara seorang lelaki berkaca mata keselamatan dan memakai vest keselamatan menghiburkan penonton yang ketawa terbahak-bahak.
Robot-robot lain, ada yang berpakaian seragam kerja atau topi besbol, mengendalikan barisan pemasangan, bermain sukan curling menentang manusia, atau menuang minuman ringan dari mesin layan diri.
Ia membuktikan peningkatan tahap kecanggihan dari tahun ke tahun. – AFP