MOSCOW, 27 OGOS – Kapal angkasa tanpa pemandu membawa robot menyerupai manusia Rusia pertama yang dihantar ke orbit mendarat dengan selamat di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) hari ini, selepas gagal berbuat demikian hujung minggu lalu.
“Hubungan disahkan, pendaratan disahkan,” kata pengulas di NASA TV. Robot bersaiz manusia dinamakan Fedor, singkatan kepada Final Experimental Demonstration Objek Research, yang meniru pergerakan manusia, kemahiran utama yang membolehkan ia membantu melakukan tugasan dari jauh.
Ia berlepas Khamis lalu dalam kapal angkasa Soyuz MS-14 dari tapak angkasa lepas Rusia di selatan Kazakhstan dan dijangka berada di ISS sehingga 7 September ini, belajar membantu angkasawan di stesen angkasa lepas.
Kegagalan mendarat Sabtu lalu meningkatkan ketidaktentuan berhubung masa depan program angkasa lepas Rusia, yang berhadapan beberapa masalah sebelum ini.
Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA), berkata Sabtu lalu kapal angkasa itu tidak berjaya mendarat pada sasarannya di stesen itu, dan berpatah balik pada jarak selamat dari kompleks orbit manakala pengawal pesawat Rusia menilai langkah seterusnya. Pengawal pesawat Rusia memberitahu kru ISS ia berhadapan masalah yang menghalang pendaratan automatik adalah di stesen itu, bukan pada kapal angkasa, kata NASA.
Soyuz biasanya dikendalikan manusia dalam perjalanan seumpama itu tetapi kali ini dikawal jarak jauh dalam usaha menguji sistem penyelamat kecemasan baharu. – AFP
