TIANJIN, 4 MAC – Video yang tular di media sosial China menunjukkan sebuah robot manusia yang kelihatan mengalami kerosakan dan secara tidak terkawal ‘menyerang’ orang ramai di sebuah festival di Tianjin.
Memetik laporan Oddity Central, rakaman tersebut, yang diambil semasa Festival Gala Musim Sejuk Tianjin pada 9 Februari, menunjukkan salah satu daripada robot manusia Unitree H1 yang seolah-olah menyerang seorang penonton yang menghulurkan tangan untuk bersalam.
Sebaliknya, robot itu menunjukkan pergerakan lengan yang tidak menentu dan dengan agresif menyerbu ke arah orang ramai sebelum ditarik semula oleh pengawal keselamatan dan seorang individu yang kelihatan seperti penyelia robot. Robot H1 itu kelihatan tenang semula sebelum video itu dihentikan, tetapi tingkah laku ganas tersebut menimbulkan kebimbangan tentang penggunaan mesin autonomi dalam kalangan manusia.
Dipasarkan sebagai robot manusia serba guna, H1 telah menjadi salah satu robot manusia yang paling popular di pasaran China. Berdiri pada ketinggian sekitar 180 cm dan berat 42 kilogram, robot Unitree H1 mempunyai kelajuan pergerakan sebanyak 3.3 meter per saat, pelbagai pilihan mobiliti dan kapasiti bateri 864Wh. Ia kini dijual pada harga AS$90,000.
Pemcipta Unitree telah memberi penjelasan mengenai video viral yang menunjukkan salah satu robot H1 mereka bertindak agresif, menyifatkannya sebagai ‘kemalangan’ yang kemungkinan disebabkan oleh ‘perisian atau sensor yang rosak’, sambil menambah mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berulang di masa hadapan.

Kenyataan Unitree mengenai insiden itu gagal menenangkan sepenuhnya semua pihak.
Walaupun ada yang menganggap video tersebut mengelirukan, dengan mendakwa bahawa robot H1 itu hanya cuba mengembalikan keseimbangannya selepas terjatuh secara tidak sengaja, yang lain pula menyuarakan kebimbangan tentang orang ramai yang berisiko mengalami kecederaan dalam kejadian seperti itu.
“Pandangan tentang masa depan dalam 10 tahun,” kata seseorang yang menggambarkan kejadian festival itu di platform mikroblogging China, Weibo.
“Ia kelihatan seperti filem seram sains fiksyen,” ulas seorang lagi.
China telah mengalami ledakan robot dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan beberapa model canggih mencatat rekod dalam pelbagai kategori, tetapi insiden seperti ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – Agensi