WASHINGTON, 29 SEPT – Amazon semalam memperkenalkan robot kediaman yang dilengkapi kamera yang boleh digunakan oleh pengguna untuk meronda kediaman mereka, peranti yang dikatakan oleh pencipta projek bakal menjadikan cereka sains satu kenyataan.
Syarikat gergasi teknologi itu mengalu-alukan ‘Astro’ sebagai satu pencapaian besar untuk keselamatan dan kesenangan, namun pemerhati digital menyuarakan kebimbangan mengenai risiko berpotensi yang timbul kepada privasi orang di rumah.
Astro merupakan peranti dengan ketinggian dua kaki dan berat sembilan kilogram yang boleh memeta pelan lantai rumah dan mematuhi arahan untuk pergi ke tempat khusus untuk melihat secara lebih dekat dengan kamera teleskopnya.
“Sekarang apabila anda tidak ada di rumah, anda boleh menggunakan Astro untuk memantau rumah anda dan menyiasat aktiviti,” kata eksekutif Amazon Dave Limp dalam klip pelancaran produk.
Peranti itu, yang boleh berfungsi dengan pembantu rumah digital Amazon Alexa, boleh diajar untuk mengecam wajah dan mempelajari tabiat ahli keluarga.

Menurut Amazon, Astro juga dapat membantu memeriksa dari jauh ahli keluarga yang lebih tua atau menghantar peringatan untuk aktiviti tertentu.
“Ia menjadikan cereka sains satu realiti,” kata Suri Maddhula, yang mengusahakan projek tersebut, dalam siaran video.
Matthew Guariglia, penganalisis dasar di kumpulan pemerhati digital Frontier Foundation, membangkitkan isu mengenai potensi peranti membenarkan penggodam melihat rumah pengguna ataupun polis berusaha mengakses rumah menerusi waran penggeledahan.
Limp, naib presiden Amazon untuk peranti dan perkhidmatan, dalam sidang media berkata Astro mempunyai ciri-ciri dalaman yang mampu mengelaknya daripada disalahgunakan.
Beliau berkata pengguna boleh menutup kamera dan mikrofon Astro, juga mendapati robot itu mengeluarkan bunyi amaran dan mesej di skrin paparan apabila seseorang cuba mengakses kamera dari jauh. – AFP