Sunday, December 29, 2024
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robot: Pelayan masa depan industri restoran?

    Gambar AP

    MADISON HEIGHTS, MICHIGAN – Awda mungkin sudah melihat ‘mereka’ di restoran: mesin setinggi paras pinggang yang dapat menyambut tetamu, membawa tetamu ke meja, menghantarkan makanan dan minuman serta membawa piring kotor ke dapur. Beberapa mesin bahkan memiliki wajah seperti kucing dan berdengkur apabila awda menggaru kepalanya.

    Tetapi adakah pelayan robot ini perkhidmatan masa depan? Ini adalah pertanyaan yang cuba dijawab oleh industri restoran.

    Ramai memikirkan pelayan robot merupakan penyelesaian kepada kekurangan tenaga kerja di industri ini. Penjualan mesin-mesin ini telah meningkat pesat dalam beberapa tahun ini, dengan puluhan ribu mesin kini berada di ruang makan di seluruh dunia.

    “Tidak timbulnya keraguan dalam fikiran saya bahawa inilah haluan yang diambil dunia saat ini,” kata Dennis Reynolds, dekan dari Hilton College of Global Hospitality Leadership di University of Houston. Restoran sekolah itu mula menggunakan robot pada Disember, dan Reynolds berkata mesin tersebut telah menyenangkan bebanan kerja untuk kakitangan manusia dan menjadikan perkhidmatan lebih efisien.

    Namun, orang lain berkata pelayan robot merupakan gimik yang masih mempunyai perjalanan jauh sebelum boleh menggantikan manusia. Ia tidak boleh menerima pesanan, dan banyak restoran mempunyai tangga, laman dalam dan halangan fizikal lainnya yang sukar diadaptasi oleh robot.

    Li Zhai semasa ditemu bual di restoran Noodle Topia.
    Makanan diletakkan di robot BellaBot di restoran Noodle Topia.
    Robot BellaBot kelihatan di restoran Noodle Topia di Madison Heights, Michigan.
    Robot BellaBot di restoran Noodle Topia menghantar makanan dan minuman ke sebuah meja.

    “Restoran adalah tempat yang agak kelam-kabut, sehingga amat sukar untuk memasukkan automasi dengan cara yang benar-benar produktif,” kata Craig Le Clair, naib presiden dari syarikat pakar runding Forrester yang mempelajari automasi.

    Meskipun demikian, robot berkenaan semakin meningkat. Bear Robotics, berpusat di Redwood City, California, memperkenalkan robot Servi pada 2021 dan dijangka memiliki 10,000 robot yang dihantar pada akhir tahun ini di 44 negeri AS dan luar negara. Pudu Robotics, di Shenzen, China, yang ditubuhkan pada 2016, telah menghantar lebih daripada 56,000 robot di seluruh dunia.

    “Setiap rantaian restoran mencari sebanyak mungkin automasi,” kata Phil Zheng dari Richtech Robotics, pembuat pelayan robot di Austin. “Orang akan melihat mesin-mesin ini di mana-mana dalam satu atau dua tahun akan datang.”

    Li Zhai menghadapi masalah mencari pekerja untuk Noodle Topia, restorannya di Madison Heights, Michigan, pada musim panas 2021, sehingga ia membeli BellaBot dari Pudu Robotics. Robot tersebut amat berjaya sehingga ia menambahkan dua lagi; sekarang, satu robot membawa pengunjung ke meja mereka sementara robot lain menghantar semangkuk mi panas ke meja.

    Pekerja menimbunkan piring kotor ke robot ketiga untuk dibawa kembali ke dapur.

    Sekarang, Zhai hanya memerlukan tiga orang untuk melakukan jumlah kerja sama yang dulu dilakukan oleh lima atau enam orang. Dan robot membantu menjimatkan wang.

    Menurutnya, satu robot berharga AS$15,000, tetapi seorang pekerja dibayar AS$5,000 hingga AS$6,000 sebulan.

    Zhai berkata robot memberi pelayan manusia lebih banyak masa untuk berinteraksi dengan pelanggan, yang meningkatkan tip. Dan pelanggan sering menyiar video tentang robot di media sosial yang menarik orang lain untuk mengunjungi restoran tersebut.

    “Selain menjimatkan tenaga kerja, robot juga menjana perniagaan,” katanya.

    Interaksi dengan pelayan manusia boleh berbeza. Betzy Giron Reynosa, yang bekerja dengan BellaBot di The Sushi Factory di West Melbourne, Florida, berkata robot boleh menimbulkan masalah. “Awda tidak boleh memberitahunya untuk bergerak,” katanya. Dia juga pernah melayani pelanggan yang tidak ingin berinteraksi dengan robot.

    Namun secara keseluruhan, robot adalah aset, katanya. Ia membantunya daripada berulang-alik ke dapur dan memberinya lebih banyak masa dengan pelanggan.

    Keprihatinan tentang kebersihan semasa pandemik dan penggunaan teknologi baharu seperti menu kod QR juga membuka jalan bagi robot, kata Karthik Namasivayam, pengarah Sekolah Perniagaan Perhotelan di Kolej Perniagaan Broad Universiti Michigan.

    Namasivayam mendapati penerimaan awam terhadap pelayan robot sudah pun tinggi di Asia. Contohnya, Pizza Hut mempunyai pelayan robot di 1,000 restoran di China.

    Amerika lebih lambat mengambil alih penggunaan robot, tetapi beberapa rangkaian restoran kini sedang mengujinya. Chick-fil-A mencuba penggunaannya di beberapa lokasi di AS dan berkata robot memberikan lebih banyak masa kepada pekerja untuk menambah minuman, membersihkan meja dan menyambut tetamu.

    Marcus Merritt terkejut apabila melihat seorang pelayan robot di Chick-fil-A di Atlanta baru-baru ini. Menurutnya, robot itu tidak nampak menggantikan kakitangan; dia mengira ada 13 pekerja di kedai itu dan pekerja memberitahunya bahawa robot membantu mempercepat perkhidmatan.

    “Saya fikir teknologi adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kita sekarang. Setiap orang mempunyai telefon pintar, setiap orang menggunakan komputer,” kata Merritt, yang memiliki perniagaan pemasaran. “Ini adalah perkembangan semula jadi.”

    Namun tidak semua rangkaian restoran mencatat kejayaan dengan penggunaan robot.

    Chili’s memperkenalkan pelayan robot bernama Rita pada 2020 dan memperluaskan ujian ke 61 restoran di AS sebelum menghentikannya secara tiba-tiba pada Ogos tahun lalu.

    Rangkaian restoran mendapati Rita bergerak terlalu perlahan dan menghalang pelayan manusia. Selain itu, 58 peratus pengunjung yang ditemu bual berkata Rita tidak meningkatkan pengalaman mereka secara keseluruhan.

    Haidilao, sebuah rangkaian Hot Pot di China, mula menggunakan robot setahun yang lalu untuk menghantar makanan ke meja para pelanggan. Tetapi pengurus di beberapa cawangan berkata robot terbukti tidak boleh dipercayai atau kos efektif seperti pelayan manusia.

    Wang Long, pengurus sebuah cawangan di Beijing, berkata kedua-dua robotnya telah rosak.

    “Kami hanya menggunakannya sekali-sekala,” kata Wang. “Ia hanyalah konsep dan mesin itu tidak dapat menggantikan manusia.”

    Tetapi ia bukan masa depan yang ingin dilihat semua orang. Saru Jayaraman, yang memperjuangkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja restoran sebagai presiden One Fair Wage, berkata restoran dengan senang dapat menyelesaikan kekurangan tenaga kerja mereka jika mereka hanya membayar pekerja gaji lebih tinggi.

    “Manusia tidak pergi ke restoran untuk dilayani oleh teknologi,” katanya. “Mereka pergi untuk pengalaman diri mereka sendiri dan orang yang mereka sayangi dilayani oleh manusia.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda