MILTON KEYNES, UNITED KINGDOM – Terkenal dengan pusing keliling dan patung lembu ukiran batu. Tetapi kini bandar Milton Keynes mempunyai sesuatu yang mampu membuatkannya terkenal iaitu pasukan robot penghantaran barang yang banyak.
Kenderaan automatik enam roda, yang dilancarkan tiga tahun lalu, berjaya menarik perhatian ketika ia melalui jalan-jalan di kawasan kediaman, kira-kira 80 kilometer di utara London.
Jumlahnya bertambah kepada 200 di Milton Keynes dan Northampton yang berdekatan, yang memperkenalkan perkhidmatan tersebut pada tahun 2020, dan merancang untuk menggunakan sebanyak 500 buah di lima lagi kawasan di seluruh negara.
Menurut pengendali robot, robot berwarna putih itu digunakan ketika Britain dalam perintah berkurung tahun lalu ketika virus koronavirus melanda.
“Semua orang sangat memerlukan penghantaran tanpa kontak selama wabak itu,” kata Andrew Curtis, ketua operasi UK di Starship Technologies, kepada AFP. Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, telah menggandakan pengirimannya di UK, kini membuat 1,000 penghantaran dalam masa sehari. “Permintaan tidak menurun,” kata Curtis, sambil menambah ketika perintah berkurung di rumah dimansuhkan, pengguna menjadi lebih bersedia untuk mencuba teknologi tersebut.
Syarikat itu telah menandatangani perjanjian baharu dengan rakan kongsi rantaian pasar raya Co-op Group, untuk menyediakan 300 robot baharu pada akhir tahun ini dan penghantaran tiga kali ganda.
Di hadapan salah sebuah pasar raya di Milton Keynes, yang pertama menggunakan mesin penghantaran pada tahun 2018, sekumpulan robot sudah siap sedia menunggu. Dengan antena mereka dihiasi dengan bendera oren untuk membantu penglihatan, mereka kelihatan seperti barisan bumper car tanpa pemandu.
Pasukan Starship
Seorang pekerja keluar dari kedai dan membuat pesanan terbaharu kepada salah satu robot iaitu beg kecil berisi raspberi, yogurt dan sejambak bunga.
Dengan penutupnya terkunci, robot tersebut segera bergerak ke laluan pejalan kaki. Ia berpusing dan bergerak ke hadapan untuk menyeberangi jalan sebelum berhenti, berundur secara tiba-tiba untuk membiarkan sebuah kereta melintas. Dilengkapi dengan kamera, sensor dan penggera yang kuat jika diperlukan, robot yang pertama kali dibuat pada tahun 2014 oleh dua pengasas Skype adalah 99 peratus autonomi. Tetapi sekiranya ia tergendala, pengendali boleh mengawalnya.
Setelah dilancarkan, robot itu menavigasi laluan pejalan kaki yang berliku di antara rumah-rumah di Milton Keynes. Apabila laluanya lapang, robot tersebut dapat mencapai kecepatan hingga enam kilometer per jam, lebih sedikit cepat daripada berjalan biasa. Penghantaran sampai kepada pelanggan dalam masa kurang dari satu jam.
Co-op berkata penggunaan robot ini mesra alam dan mudah, dengan 70 peratus pelanggan Starship pergi tanpa perlu menggunakan kereta ke kedai atau menerima penghantaran dari kenderaan yang menggunakan bahan bakar.
Di bawah sistem penghantaran, robot tetap menjadi hak milik Starship dan pesanan dibuat melalui aplikasi yang mereka ciptakan. Syarikat ini menguruskan 1,000 buah robot, terutamanya di Britain dan AS malahan di Estonia, Jerman dan Denmark.
Firma teknologi tersebut tidak bersendirian dalam perlumbaan robot penghantaran. Di AS, sebagai contoh, di mana ia beroperasi terutamanya di kampus universiti, ia sedang bersaing dengan syarikat gergasi baharu dan logistik seperti Amazon dan FedEx.
Ketika jumlah robot bertambah, dron penghantaran beroda mendapat kritikan daripada persatuan pekerja, yang bimbang robot akan mengambil alih pekerjaan manusia. Perbahasan dibuat di balai-balai perbandaran AS, yang ditugaskan untuk menentukan had perjalanan penghantaran dan peraturan mengenai perkongsian laluan pejalan kaki.
“Namun, kami belum pernah mengalami kemalangan setakat ini,” kata Curtis, sambil menambah di UK Starship telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk setiap lokasi operasinya.
Robot yang membawa raspberi, yogurt dan bunga meneruskan perjalanannya, bergerak teragak-agak kerana permukaan jalan yang berlubang kerana penyelenggaraan jalan. Pekerja jalan raya kelihatan tidak terganggu ketika mereka meletakkan papan untuk menutup lubang jalan.
Ketika robot penghantaran akhirnya sampai ke tempat tujuan, Sheila Rose, 71, keluar dari rumahnya dan membuka kunci menggunakan telefon pintarnya, untuk mengambil barangan dan jambangan bunga pesanannya.
“Jika saya dapat menggunakannya, siapa pun dapat,” katanya. “Kerana kesihatan saya yang teruk, saya menghadapi masalah untuk pergi ke kedai-kedai,” katanya, memanggil robot itu ‘anugerah’. Dron penghantaran menjadi sangat penting bagi warga emas di mana beberapa minggu dia menggunakannya setiap hari. “Saya mempunyai cucu. Dan mereka menyukainya,” tambahnya. – AFP