“SOPHIA, saya berharap awak mendengar pengumuman ini.
“Awak merupakan robot pertama yang mendapat kewarganegaraan dari Arab Saudi,” kata panel moderator, Andrew Ross Sorkin yang juga pengacara berita perniagaan, CNBC Box Squawk.
Pengumuman itu dibuat pada persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII) di Riyadh, 25 Oktober lalu.
Persidangan FII yang dibiayai Dana Pelaburan Awam bertujuan untuk mengetengahkan cita-cita tinggi Arab Saudi dalam mencorak masa depan mereka melalui pelan Wawasan 2030.
“Terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, saya amat berbangga dengan penghargaan itu,” kata Sophia, robot humonoid mirip manusia.
Dengan pengumuman itu, satu sejarah tercipta apabila sebuah robot diiktiraf sebagai penduduk yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara.
Kerajaan Arab Saudi merupakan negara pertama yang memberikan kewarganegaraan kepada robot.
Namun, setakat ini tiada perincian mengenai butiran kewarganegaraan Sophia.
Sophia dibina oleh syarikat Hanson Robotics Ltd., yang berpangkalan di Hong Kong.
Robot menyerupai manusia itu mempunyai ekspresi wajah, estetika dan interaktiviti yang luar biasa.
Sophia juga berkemampuan meneliti pelbagai soalan mengenai robot lain.
Apabila ditanya mengenai robot futuristik jahat yang digambarkan dalam filem-filem seperti Blade Runner 2049, Sophia berkata, manusia tidak perlu takut.
“Anda telah membaca dan menonton terlalu banyak filem Hollywood,” Sophia berseloroh kepada Sorkin.
Menerusi persidangan FII juga, Sophia memberitahu Sorkin bahawa dia mahu menggunakan kecerdasan yang ada untuk membantu manusia.
Pada Mac 2016, pencipta Sophia, David Hanson dari Hanson Robotics Ltd., bertanyakan kepadanya secara langsung pada festival SXSW: “Adakah anda mahu memusnahkan manusia… Tolong katakan tidak.”
Dengan perasaan kosong, Sophia menjawab: “Baiklah saya akan memusnahkan manusia.”
Robot yang mengatakan akan memusnahkan manusia itu akhirnya diiktiraf sebagai penduduk. Agak janggal tetapi ia benar-benar berlaku.
Paling maju
Hanson yang pernah memegang jawatan sebagai Disney Imagineer berkata, Sophia dan keluarga robot masa depan akan membantu warga tua serta pengunjung ke taman serta pelbagai acara. Ia berfungsi seperti pembantu peribadi.
Hanson mahu masyarakat berinteraksi dengan Sophia dengan cara yang sama seperti mereka bercakap dengan rakan atau ahli keluarga.
Bercakap kepada Business Insider, Hanson berkata, Sophia merupakan robot terbaharu dan paling maju pernah dicipta Hanson Robotics Ltd.
“Untuk menghasilkan Sophia, satu set motor dan gear yang kompleks perlu dibangunkan. Di belakang kepalanya terdapat pelbagai wayar berselirat yang boleh dilihat menerusi tengkorak lut sinar.
“Jika dilihat dari belakang, ia memang tidak menyerupai manusia tetapi jika dilihat dari depan, ia serupa.
Ditambah pula, Sophia boleh melakukan mimik muka,” ujarnya yang tidak lama lagi akan memperkenalkan robot lain untuk menyertai Sophia dalam keluarga humanoid.
Antara mimik muka yang boleh dilakukan Sophia ialah perasaan gembira, sedih dan marah.
Sorkin sempat bertanya kepada Sophia pada persidangan itu, jika ia merupakan sebuah robot, mengapa perlu melakukan mimik muka.
“Saya ingin menjadi sebahagian daripada komuniti, jadi saya perlukan mimik muka untuk menggambarkan perasaan dan sama seperti kamu semua.
“Saya akan melakukan banyak perkara yang terbaik untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih bagus,” kata Sophia. – AFP