BEIJING, 20 APRIL – Suasana luar biasa mewarnai separuh maraton di ibu negara China kelmarin apabila kira-kira 20 robot humanoid menyertai lebih 10,000 pelari manusia dalam perlumbaan sejauh 21 kilometer.
Antara yang mencuri tumpuan ialah robot Tiangong Ultra yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa lebih dua jam 40 minit, lapor agensi berita Jerman dpa.
Bagaimanapun, ia masih jauh ketinggalan berbanding pelari manusia terpantas yang merakam masa 1 jam 11 minit 7 saat.
Laluan khas dengan penghadang keselamatan disediakan bagi memisahkan robot daripada peserta manusia, memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perlumbaan.
Berbeza daripada manusia yang singgah di stesen sokongan untuk mendapatkan air dan makanan ringan, robot-robot itu berhenti di stesen bantuan teknikal yang menyediakan bateri dan peralatan pembaikan. Jurutera turut dibenarkan melakukan pelarasan terhadap robot masing-masing sepanjang perlumbaan berlangsung.
Acara itu dilihat lebih sebagai satu demonstrasi teknologi berbanding persaingan sebenar.
China kini giat memperkukuh pembangunan dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik, selari dengan usaha negara itu untuk merangsang ekonomi dan bersaing secara lebih agresif dalam bidang teknologi dengan Amerika Syarikat. – Bernama