PITTSBURG, 19 SEPT – Selepas berlatih dalam lombong batu kapur dan sebuah hospital ditinggalkan di luar Pittsburg, sekumpulan robot dari Universiti Carnegie Mellon sedang bersiap sedia dihantar ke Kentucky untuk menjalani ujian terakhir mengemudi laluan di bawah tanah.
Cabaran yang dihadapi adalah mengumpul seberapa banyak objek mungkin dalam tempoh satu jam sementara menjelajahi sebuah gua di Louisville, Kentucky.
Matlamat projek tersebut adalah membangunkan robot automatik untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat untuk tentera dan pasukan penyelamat.
Salah satu ciri istimewa adalah hanya terdapat seorang operator dan satu armada yang mungkin termasuk 12 robot, maka mesin berkenaan mesti berupaya bergerak dan membuat keputusan mereka sendiri.
Adalah sukar untuk mencipta robot automatik di darat. Kumpulan CMU ini berusaha melakukannya di bawah tanah.
“Di tengah cabaran ini wujudnya masalah penjelajahan,” kata Sebastian Scherer, ketua pasukan CMU dan profesor madya penyelidikan di Institut Robotik.
“Anda sedang memasuki persekitaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini, maka timbulnya ketidakpastian dan robot perlu berupaya memutuskan apa yang harus dilakukan apabila berdepan ketidakpastian.”
Para penyelidik dan pelajar di CMU bergabung dengan Universiti Negeri Oregon untuk membangunkan armada robot, bergelar Team Explorer.
Kumpulan itu akan bertanding pada minggu depan untuk hadiah berjumlah AS$2 juta dalam pusingan akhir Cabaran Subterranean DARPA, pertandingan yang dihoskan oleh Agensi Projek Penyelidikan Pertahanan untuk membangunkan teknologi automatik yang mengemudi senario bawah tanah. – AP
