Saturday, October 12, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robotaxi dilancar sebelum 2027

    LOS ANGELES, 11 OKT – Elon Musk kelmarin mendedahkan apa yang beliau katakan sebagai robotaxi yang mampu memandu sendiri, meramalkan ia akan tersedia menjelang 2027, kira-kira satu dekad selepas beliau pertama kali menjanjikan sebuah kenderaan autonomi.

    Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu berkata kereta elektrik sepenuhnya, yang tidak mempunyai stereng atau pedal, akan berharga kurang AS$30,000, akan dicas secara tanpa wayar dengan teknologi induktif dan akan menjadi ‘10 hingga 20 kali lebih selamat’ daripada kereta yang dipandu manusia.

    “Awda boleh bayangkan kereta dalam dunia autonomi seolah-olah seperti sebuah lounge kecil,” katanya kepada orang ramai di lot Warner Brothers Studio berhampiran Los Angeles.

    “Awda cuma duduk di dalam ruang istirahat kecil yang selesa, dan awda boleh melakukan apa sahaja yang awda mahu sementara awda berada di dalam ruang istirahat yang selesa ini, dan apabila awda keluar, awda akan tiba di destinasi awda.”

    Tidak banyak butiran diberikan mengenai kenderaan tersebut, yang mempunyai pintu gullwing yang mengingatkan kepada Delorean yang terkenal dalam filem Back to the Future.

    Kenderaan Tesla berbaris di tempat letak kereta di kilang Fremont, Calif., syarikat itu, pada 18 September 2023. – AP

    Beliau berkata syarikat itu menjangka akan memulakan pemanduan ‘autonomi sepenuhnya, tanpa pengawasan’ di Texas dan California pada tahun depan dengan model sedia ada, dan kemudian beralih kepada pengeluaran apa yang dipanggil beliau sebagai ‘cybercab’.

    “Saya cenderung untuk sedikit optimistik dengan jangka masa, tetapi pada 2026, sebelum 2027,” jelasnya mengenai bila kenderaan tersebut akan tersedia.

    Musk turut memperkenalkan kenderaan penumpang besar yang digear beliau ‘Robovan’.

    Kenderaan tersebut, yang kelihatan seperti sebuah pembakar roti besar bergerak, tidak mempunyai stereng, pedal atau pemandu.

    Ia boleh memuatkan sehingga 20 orang penumpang atau boleh diubah suai untuk membawa barangan, kata Musk. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda