ATLANTA, 25 JUN – Pekhidmatan roboteksi Waymo telah mula membawa penumpang di beberapa kawasan Atlanta di samping pengembangan kerjasama dengan syarikat Uber yang bermula pada awal tahun di Austin.
Perkidmatan teksi tanpa pemandu berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas Tesla akhirnya melancarkan perkhidmatan roboteksi yang terhad di Austin, lebih lima tahun selepas Elon Musk mengatakan Tesla akan segera memintas Waymo dalam perkhidmatan pemanduan autonomi.
Berbeza dengan Waymo, Tesla pada mulanya meletakkan pemandu di tempat duduk penumpang untuk mengambil alih pemanduan sekiranya berlaku sebarang masalah.
Waymo dan Uber telah menyediakan kira-kira 100 buah kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya di Austin kurang daripada empat bulan selepas perkongsian mereka bermula, sejajar dengan rancangan kedua-dua syarikat pada September lalu.
Seperti yang berlaku di Austin, roboteksi Waymo di Atlanta akan dihantar melalui aplikasi Uber dan menyediakan pilihan kepada penumpang untuk meminta kereta yang disertakan dengan pemandu sekiranya mereka mahu.
Aplikasi Waymo sendiri tersedia di Phoenix, Los Angeles dan kawasan Teluk San Francisco dan semakin berkembang.
Dengan mengambil kira perkongsiannya dengan Uber, Waymo kini menyediakan lebih daripada 250,000 tunggangan berbayar setiap minggu dan menjadikannya pendahulu awal dalam pasaran perkhidmatan roboteksi.
Tetapi persaingan bakal menjadi sengit apabila Musk tegaskan roboteksi Tesla akan dapat berkembang dengan pantas dan Amazon pula bersiap sedia untuk melancarkan Zoox ke Las Vegas akhir tahun ini dan San Francisco tahun depan.
Zoox turut mahu disebarkan ke Atlanta walaupun tarikh sasaran belum ditetapkan.
Pada mulanya Uber berminat membina roboteksinya sendiri namun beralih kepada perkongsian dengan Waymo setelah mengalami beberapa isu.
“Dengan menyepadukan teknologi termaju Waymo ke dalam platform Uber, kami terus menjadikan pengangkutan lebih mudah, mampan dan boleh dipercayai,” kata Sarfraz Maredia, yang menyelia usaha Uber dalam pemanduan autonomi.
Dengan 18 perkongsian roboteksi di seluruh dunia, Uber menyasarkan kira-kira 1.5 juta pemanduan tanpa pemandu tahunan termasuk mengangkut penumpang atau menghantar makanan. – AP
