LOS ANGELES, 29 Mac – James Harden menjaringkan 38 mata untuk menerajui Houston Rockets bagi kemenangan 112-85 ke atas Denver Nuggets dalam persaingan antara pasukan teratas NBA Western Conference hari ini.
Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA, Harden, menambah enam robound dan enam assist ketika Rockets mengejutkan Nuggets, yang berada di kedudukan kedua di belakang juara bertahan, Golden State Warriors.
“Saya fikir ia adalah penting bagi keyakinan, rentak dan keserasian kami,” kata pemain Rockets Clint Capela, yang mencatatkan 17 mata dan 15 rebound.
“Kami melakukan tugas yang baik hari ini, sekali gus mengekalkan mereka di bawah 25 mata pada satu suku.”
Eric Gordon menambah 18 mata dan Austin River menjaringkan 15 mata buat Rockets, yang meninggalkan Nuggets 40-19 pada suku kedua untuk mendominasi persaingan.

Dalam perlawanan lain, slot playoff Utah Jazz telah disahkan selepas Sacramento Kings tewas 121-118 kepada New Orleans Pelicans.
Sementara itu Toronto Raptors tidak menerima tentangan sukar daripada Knicks dalam kemenangan 117-92 di New York.
Penyerang Pascal Siakam menerajui Raptors dengan 31 mata ketika Toronto memperbaiki kedudukan 53-23, tempat kedua East di belakang Milwaukee Bucks yang merekodkan 57-19 dengan kemenangan 128-188 ke atas Los Angeles Clippers.
Tetapi kemenangan Bucks dicemari apabila calon MVP, Giannis Antetokounmpo terjatuh dan memegang buku lali selepas dunk suku keempat.
Antetokounmpo, yang menjaringkan 34 mata, kemudian digantikan. Dia terlepas dua perlawanan minggu lepas selepas mengalami masalah pada buku lali yang sama ketika menentang Philadelphia. – AFP