Rodgers: Ia masih musim yang mengagumkan

LONDON, 26 JULAI – Brendan Rodgers menegaskan bahawa musim Leicester tidak akan berakhir dengan kegagalan meskipun mereka terlepas tempat untuk bersaing di Liga Juara-Juara.

Pasukan kendalian Rodgers akan menerima kunjungan Manchester United dalam perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan dalam perlawanan itu akan melayakkan mereka untuk Liga Juara-Juara musim depan.

Leicester kini menduduki tangga ke-5, satu mata di belakang United dan Chelsea, selepas kempen yang mengagumkan.

Tetapi mereka hanya mencatat dua kemenangan dari lapan perlawanan liga sejak EPL disambung semula, sementara United kekal mencatat rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan terakhir mereka di EPL.

United hanya memerlukan satu mata untuk menamatkan musim ini di kelompok empat teratas dan Chelsea sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri atau menang ke atas Wolves untuk menamatkan impian Leicester bersaing di Liga Juara-Juara.

Tanpa menghiraukan keputusan perlawanan pada Ahad, Rodgers mengakui bahawa Leicester berada di landasan yang betul.

“Kami mempunyai enam sasaran – dua darinya ialah untuk mara ke final piala domestik, satu mara ke separuh akhir, dan satu mara ke suku akhir, jadi kami hanya terlepas beberapa sasaran tetapi menepati matlamat prestasi yang lain, iaitu dari segi mara ke bola sepak Eropah dan memperbaiki jaringan gol kami,” katanya.

Meskipun Leicester terlepas peluang selepas mendahului 14 mata di hadapan United pada bulan Januari, Rodgers tidak kesal mengenai cara pasukannya bermain selepas EPL disambung semula.- AFP