Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rodrigo Duterte dalam tahanan ICC

    THE HAGUE, 13 MAC – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin, menurut kenyataan mahkamah itu, lapor Anadolu Ajansi.

    Media tempatan melaporkan bahawa penyokongnya berkumpul di pusat tahanan Scheveningen di The Hague, Belanda, sambil mengibarkan bendera Filipina dan menyanyikan lagu kebangsaan.

    Selepas mengumumkan penahanannya, ICC menyatakan bahawa mahkamah mendapati, “terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Duterte bertanggungjawab secara individu sebagai rakan subahat tidak langsung dalam jenayah terhadap kemanusiaan berupa pembunuhan, yang didakwa dilakukan di Filipina antara 1 November 2011 dan 16 Mac 2019.”

    Mahkamah turut menyatakan bahawa terdapat, “alasan munasabah untuk mempercayai bahawa beliau, bersama dan melalui individu lain, bersetuju untuk membunuh individu yang mereka kenal pasti sebagai suspek jenayah atau mereka yang mempunyai kecenderungan jenayah, termasuk tetapi tidak terhad kepada pesalah dadah, pada awalnya di Davao (selatan Filipina) dan kemudian di seluruh negara.”

    Satu pendengaran akan dijadualkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Duterte membuat penampilan pertama di mahkamah, termasuk menentukan bahasa yang akan digunakan sepanjang prosiding.

    “Mahkamah juga akan memastikan bahawa Duterte telah dimaklumkan mengenai jenayah yang didakwa dilakukan serta hak-haknya di bawah Statut Rom, iaitu perjanjian penubuhan mahkamah ini,” menurut kenyataan itu.

    Pendaftar ICC, Osvaldo Zavala Giler turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Filipina, “atas komitmen mereka dalam menegakkan mekanisme akauntabiliti antarabangsa, serta pihak berkuasa Negara Tuan Rumah, Belanda, atas kerjasama dan sokongan mereka.”

    Duterte telah dibawa menaiki pesawat yang dicarter ke The Hague Selasa lalu untuk menghadapi perbicaraan selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila sekembalinya dari Hong Kong. Pesawat itu singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke The Hague.

    Naib Presiden Filipina Sara Duterte, anak kepada bekas pemimpin itu, turut berlepas ke The Hague kelmarin bagi membantu mengatur pasukan guaman bapanya. – Bernama/Anadolu

    Penyokong Rodrigo Duterte berkumpul di luar Pangkalan Udara Villamor di Manila, Filipina pada 11 Mac. Beliau kini ditahan oleh ICC. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda