BOGOTA, 20 OKT – Senator berhaluan tengah kanan daripada Christian Democratic Party (PDC), Rodrigo Paz, mendahului pusingan penentuan pemilihan Presiden Bolivia kelmarin, menurut keputusan awal yang diumumkan oleh Tribunal Pilihan Raya Tertinggi, lapor agensi Anadolu (AA).
Dengan 97 peratus undi telah dikira, ahli politik berusia 58 tahun itu memperoleh 54.53 peratus undi, mengatasi bekas Presiden Jorge ‘Tuto’ Quiroga yang meraih 45 peratus undi.
Paz dilapor akan secara rasmi mengangkat sumpah jawatan pada 8 November, sekali gus menamatkan hampir dua dekad pemerintahan parti berhaluan kiri Movement Toward Socialism (MAS) yang sekian lama mendominasi politik Bolivia dan Amerika Latin.
Sepanjang kempen, Paz berikrar untuk melaksanakan reformasi menyeluruh bagi mempromosikan ‘kapitalisme untuk semua,’ memperluas kebebasan ekonomi, meningkatkan pengeluaran dan perdagangan serta memperluas akses kredit kepada perusahaan kecil dan sederhana. – Bernama


