Monday, February 10, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rodriguez wira Selangor FC

    KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini selepas berjaya membalas dendam terhadap Sabah FC dengan kemenangan 1-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

    Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah bimbingan Tan Cheng Hoe mengumpul 40 mata dan dibezakan sembilan mata dengan pendahulu yang juga penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sementara enam mata di atas pasukan di posisi ketiga, Kedah Darul Aman FC.

    Pada pertembungan malam ini, penyerang import dari Colombia, Ayron Del Valle Rodriguez muncul wira Selangor selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama untuk menghadiahkan kemenangan ke-13 pasukan musim ini.

    Selangor yang lebih mendominasi permainan tidak bernasib baik untuk mendahului seawal minit ketujuh selepas pemain pertahanan, Dominic Tan hampir menjaringkan gol sendiri apabila tandukannya ketika cuba mengeluarkan bola sedikit tersasar tatkala penjaga gol Damien Lim sudah tertewas.

    Asakan bertali arus dilancarkan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-23 selepas Rodriguez yang menerima hantaran Richmond Boakye, melepaskan rembatan kencang kaki kanan yang menyaksikan bola terkena palang sebelum menerjah jaring. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda